17 Oktober 2011

Aziz Bari akan saman Utusan

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Prof Dr Abdul Aziz Bari sedang mengkaji secara serius untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia dan beberapa media lain yang terbabit berikutan kecaman dan laporan polis yang dibuat setelah akhbar milik Umno itu menyiarkan pelbagai laporan yang menyifatkan beliau derhaka dan kurang ajar kepada Sultan Selangor.

Pakar perlembagaan itu telah pun berbincang dengan para peguam beliau mengenai tindakan membawa akhbar tersebut ke mahkamah.

"Saya hanya memberi komen tentang kewajaran Sultan Selangor mengeluarkan kenyataan dalam kontroversi Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) itu. Dalam komen itu saya akui kuasa Sultan memang ada dalam perlembagaan. Kuasa itu tidak pernah saya pertikaikan dan saya tidak nampak mengapa saya harus diserang berhari-hari hanya kerana komen pendek itu," jelasnya.

Aziz berkata jika pihak-pihak berkenaan tidak setuju dengan apa yang beliau komen mereka boleh memberikan tafsiran dan hujah mereka mengenai isu berkenaan.

"Mereka tidak harus mengutuk dan mempertikaikan kedudukan saya. Memberi komen atas kemahiran dan keilmuan kita berbeza dengan mengambil sikap menentang atau derhaka," katanya.

Rabu lalu, Senator Ezam Mohamed Noor dan pemimpin Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamizun Kamarudin membuat laporan polis terhadap Aziz. Dalam kenyataannya kepada media, Ezam mendakwa Aziz perlu diambil tindakan dan tidak berada di UIAM.

Kenyataan yang sama dibuat oleh Datuk Zulkifli Noordin yang mencabar Aziz supaya meletakkan jawatan dan masuk politik.

Profesor undang-undang UIAM itu berkata, beliau tidak berminat untuk masuk politik atau bertanding dalam pilihan raya. Cabaran itu cabaran yang mengarut kerana mereka sepatutnya mengulas atau mengemukakan hujah mengapa mereka tidak suka dengan komen beliau.

"Tunjukkan kesalahan komen saya itu," tegasnya.

Aziz telah menghasilkan banyak tulisan mengenai raja berperlembagaan termasuk sebuah tesis PhD berjudul 'The Development and Role of Constitutional Monarchy in Malaysia' pada 1996 di England.

Selepas itu beliau menerbitkan pula buku 'Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan Dalam Perlembagaan' yang dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada Disember 2002.

Beliau juga menghuraikan kedudukan dan peranan Raja-Raja sebagai ketua agama dalam buku bertajuk Islam dalam Perlembagaan Malaysia yang diterbitkan pada 2005.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: