17 Oktober 2011

Kereta masuk sungai 2 warga asing maut

19 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga asing maut dan seorang rakan warga tempatan cedera apabila kereta yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan dan terjunam ke dalam Sungai Bunus di sini awal hari ini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku kira-kira 3.45 pagi apabila kereta jenis Honda berwarna putih yang dinaiki Jason Price Krull, 28, yang datang dari arah Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan Munsyi Abdullah dipercayai terbabas.

"Mangsa berasal dari Kanada manakala kewarganegaan seorang lagi tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang pengenalan diri pada mayat atau dijumpai dalam kereta berkenaan.

"Polis sukar mengenal pasti seorang lagi mangsa itu yang turut meninggal di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama.

Abdullah berkata siasatan awal polis mendapati kereta terbabit adalah milik warga tempatan yang cedera dan pihaknya sedang menyiasat bagaimana kereta tersebut boleh dipandu oleh warga asing berkenaan.

Beliau berkata, kesemua mangsa berumur lingkungan awal 20-an dipercayai pelajar sebuah kolej swasta di ibu negara dan mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik HKL untuk bedah siasat,” tambahnya.

Bernama

Tiada ulasan: