11 Oktober 2011

FBC dibayar RM94 juta tingkatkan profil Malaysia

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Kerajaan membayar 19.6 juta Euros (RM94 juta) kepada syarikat perundingan media FBC Media bagi perkhidmatannya sepanjang tempoh tiga tahun bermula 2007.

Dalam jawapan bertulisnya kepada ahli parlimen PKR-Batu Tian Chua (kiri), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata bayaran berkenaan adalah untuk “perkhidmatan perunding, nasihat dan menggunakan kempen komuniskasi”.

“Kontrak selama setahun itu telah disambung sebanyak dua kali dan ditamatkan pada tahun 2010. Nilai kontrak untuk tiga tahun itu ialah Euro 19.6 juta (RM94 juta),” kata Najib.

Perdana Menteri ditanya sama ada kerajaan memberi arahan kepada FBC Media yang berpangkalan di London bagi penerbitan program yang ditayangkan dalam berita British Broadcasting Corporation (BBC) dan justifikasi bagi tindakan seumpama itu.

“Penerbitan dan penyiaran program mengenai Malaysia di media antarabangsa merupakan sebahagian dari usaha meningkatkan profil Malaysia di peringkat antarabangsa sebagaimana yang diperuntukkan di dalam kontrak kerajaan dengan FBC Media,” katanya.

Bagaimanapun menurut Najib kerajaan tidak mempunyai kawalan berhubung bila sesuatu rancangan itu disiarkan.

“Ia merupakan tanggungjawap FBC Media mendapatkan masa penyiaran di media antarabangsa dan kerajaan tidak mempunyai kawalan ke atas perkara ini.

“Ini merupakan perundingan di antara FBC Media dengan pihak BBC,” kata Najib.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: