11 Oktober 2011

MB: Sokong, tak sokong perkara biasa

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menganggap desakan yang mahu beliau berundur sebagai perkara biasa dalam sesebuah organisasi.

"Ini biasalah cerita-cerita. Kalau dalam kumpulan ini, ada orang setuju, ada orang tak setuju.

"Tak apalah, kita teruskan perjuangan kita," kata Khalid mengulas dakwaan sebuah laman berita baru AntaraPos yang dilihat anti pentadbirannya.

Laman itu semalam melaporkan terdapat sekumpulan wakil rakyat PKR mendesak Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memecat Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Melalui memorandum pada Mei lalu, mereka dilaporkan merungut berhubung prestasi kepemimpinan PKR di Selangor yang dikatakan tertinggal jauh berbanding Pulau Pinang pimpinan DAP.

AntaraPos.com ditubuhkan sekumpulan wartawan dan pemimpin pembangkang yang mengaku pro-Anwar tetapi kritikal terhadap PKR.

Nafi desakan dalaman

Ditemui Malaysiakini sebelum ceramahnya di Kampung Baru, di ibu negara malam tadi, Khalid berkata, dalam PKR terdapat perbincangan dan penjelasan berhubung perkara itu dan menunjukkannya sebagai parti yang terbuka.

"Orang boleh berbincang, orang boleh menyokong, (atau) tak menyokong, semua adalah," katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan terdapat desakan dalaman supaya beliau meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Malah, tambahnya lagi, beliau "tidak jumpa" sebarang memorandum yang dikatakan dikemukakan pada kongres pilihan raya PKR Mei lalu.

"Saya tidak jumpa memorandum itu. Tapi saya juga selalu berbincang mengenai perkara ini.

"Sebab, dalam apa-apa persatuan pun, ada yang sokong, ada yang tidak sokong. Itu memang biasa," kata Khalid lagi.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: