11 Oktober 2011

Taliban Pakistan mahu damai

13 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Perdana Menteri sedia berunding dengan militan akhiri siri keganasan

ISLAMABAD: Pergerakan Taliban Pakistan, ancaman terbesar negara itu, menyatakan kesediaan mengadakan rundingan damai dengan kerajaan, lapor akhbar di sini, semalam.
Kumpulan itu memberi reaksi kepada laporan selepas pertemuan semua parti yang dihadiri pegawai atasan tentera dan perisikan bulan lalu bahawa pegawai kerajaan mahu berdamai dengan militan untuk menamatkan keganasan.

Majlis syura akan menentukan sama ada dan bila kami boleh mengadakan rundingan kerajaan dengan tentera. - Yusuf Raza Gilani, Perdana Menteri Pakistan Perdana Menteri Pakistan, Yusuf Raza Gilani, dipetik akhbar sebagai berkata bahawa kerajaan juga sedia mengadakan rundingan damai.

“Majlis syura akan menentukan sama ada dan bila kami boleh mengadakan rundingan kerajaan dengan tentera mengenainya. Namun saya berasa kami mahu membabitkan negara yang kami percaya, ia berada di dunia Arab. Arab Saudi,” lapor akhbar Express Tribune yang memetik Timbalan Ketua Taliban Pakistan, Maulvi Wali-ur-Rehman Mehsud, sebagai berkata.

Tehrik-e-Taliban Pakistan atau Pergerakan Taliban Pakistan (TTP), yang juga mempunyai hubungan rapat dengan al-Qaeda, ditubuhkan pada Disember 2007 sebagai sekutu kumpulan militan Pakistan yang melancarkan serangan di negara itu.

Ia dipersalahkan ke atas banyak serangan bom bunuh diri di seluruh Pakistan. Beberapa tindakan ketenteraan ke atas kubu kuat kumpulan itu di sempadan Afghanistan gagal melemahkan kempennya.
Beribu-ribu askar Pakistan, polis dan penduduk awam maut dalam konflik itu.

“Sehingga kini, kami tidak menerima sebarang tawaran damai secara langsung. Majlis syura kami akan duduk berbincang jika ada yang cuba menemui kami. Itu cara kami beroperasi. Tiada satu badan pusat yang membuat keputusan penting,” lapor akhbar berkenaan memetik Mehsud berkata dalam laman webnya.

Sebarang perubahan ke arah perpaduan dengan TTP pasti membangkitkan kemarahan Washington. Tahun lalu, Amerika Syarikat memasukkan TTP ke dalam senarai pertubuhan pengganas asing dan menawarkan ganjaran bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan dua pemimpinnya.

Hubungan Islamabad dan Washington tegang berikutan tindakan Amerika melancarkan serangan sehingga mengorbankan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, Mei lalu, manakala Washington menuduh Islamabad menyokong militan yang menyerang tenteranya di Afghanistan.

TTP turut bercita-cita melancarkan serangan ke atas sasaran Barat di luar negara. Kumpulan berkenaan mendakwa bertanggungjawab atas serangan bom di Times Square di New York yang gagal tahun lalu dan dilihat sebagai ancaman secara langsung kepada Amerika.

Pendakwa Amerika menuduh pemimpin TTP, Hakimullah Mehsud, atas rancangan membunuh tujuh kakitangan Agensi Perisikan Pusat (CIA) di pangkalan Amerika di Afghanistan pada 2009. – Reuters

Tiada ulasan: