27 Oktober 2011

Umno terdesak, guna 3R tarik sokongan Melayu

29 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 27 Oktober: Umno sedang cuba menggunakan strategi “3R” iaitu racial (perkauman), religion (agama) dan royal (raja) bagi memenangi undi pilihan raya, kata Timbalan Presiden PAS Haji Mohamad Sabu.

(Gambar: Mohamad Sabu menyampaikan Anugerah Tokoh PAS Pahang, Ustaz Idris Omar diwakili Pak Sheikh Hussin)

Beliau mendedahkan, serangan politik sedemikian digunakan setelah parti itu merasakan sukar dan tidak yakin untuk mendapatkan undi bukan Melayu dan bandar seperti keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

“Dalam keadaan politik sekarang untuk memenangi pilihan raya Umno mengharapkan empat komponen iaitu undi Melayu luar bandar, undi peneroka Felda, undi pos dan undi daripada Sabah serta Sarawak.

“Untuk itu strategi mereka mempermainkan isu-isu bersifat 3R iaitu racial (perkauman), religion (agama) dan royal (raja). Manakala negeri utama sasaran mereka ialah Selangor, Pulau Pinang dan Perak,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 3,000 pendengar sempena Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Pahang, di Tapak Kompleks PAS, Kerdau di sini malam tadi.

Turut berucap Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pemangku Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah dan Exco Pemuda PAS Pusat Kamal Ashaari.

Tambah Mohamad, dengan strategi 3R yang dimainkan itu membuat suhu politik negara menjadi panas mendidih, walhal semua itu dirancang Umno.

Beliau mengambil contoh mengenai tindak tanduk Umno cuba mengheret istana ke kancah politik dalam isu Lim Guan Eng dengan isu jenayah di Johor dan Dr Abdul Aziz Bari berkaitan titah Sultan Selangor.

“Nampak macam seolah-olah Umno mendukung raja. Tapi saya nak ingatkan pada tahun 1993 semasa saya menjadi ahli parlimen, pernah speaker menggantung peraturan Dewan yang menghalang menyentuh soal raja-raja. Masa itulah mereka ‘belasah’ raja-raja Melayu dalam isu kekebalan raja-raja dulu,” katanya.

Mat Indera dan Hang Jebat

Mengenai isu komunis yang cuba dikaitkan dengannya, Mohamad berkata itu merupakan isu baru yang mereka timbulkan untuk cuba bangkitkan kebencian sedangkan terdapat seorang bekas Menteri Besar (Umno) yang biasa melawat ke perkampungan bekas komunis di selatan Thailand untuk memberi bantuan.

Mohamad berkata, isu Mat Indera dan Bukit Kepong yang pernah dimainkan media satu ketika dulu hanyalah isu percanggahan pendapat tetapi sengaja dimainkan media untuk keuntungan politik.

“Contohnya macam ni... katakanlah ada seorang tu kata Hang Tuah hero, ada seorang lagi kata Hang Jebat hero. Sepatutnya bila timbul dua perbezaan pendapat begitu, berhujahlah secara ilmiah.

“Tapi apa yang berlaku apabila saya katakan Mat Indera yang menentang penjajah Inggeris itu sebagai pejuang kemerdekaan, saya dihentam dari segenap sudut sehingga ada yang cadang dilucut kewarganegaraan saya dan akhirnya didakwa di mahkamah,” katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: