03 November 2011

Aktivis Mahasiswa turut tuntut kebebasan akademik, sedia demo di Putrajaya

6 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

Seorang mahasiswa mengambil bahagian dalam sebuah protes menuntut kebebasan akademik di kampus UIA di Gombak, 26 Oktober 2011.

KUALA LUMPUR, 3 Nov — Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen menyokong penuh cadangan ahli-ahli akademik yang mahu mengadakan demonstrasi tuntut kebebasan akademik di Putrajaya susulan rentetan kes pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan ahli-ahli akademik supaya diadakan demonstrasi Putrajaya bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap isu kebebasan akademik.

“Memorandum dan petisyen bersolo ternyata tidak cukup untuk menundukkan ego pihak pemerintah untuk bertegas dalam isu kebebasan akademik,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ahli-ahli akademik tanah air terus-menerus ditekan dan dibisukan mulut mereka daripada mempersoalkan kepincangan sistem yang sedia ada.

“Sekorup mana pun sistem, ahli-ahli akademik diugut supaya usah bersuara atau mempertikaikannya.

“Sekiranya ada yang berani bangun dan bersuara, maka sudah diperlihatkan contoh, nasibnya akan sama seperti Profesor Aziz Bari,” kata beliau lagi.

Katanya, Aziz bercakap mengenai isu-isu melibatkan Perlembagaan dengan ilmu-ilmu yang beliau pakar.

“Ilmu yang beliau telah ajar selama hampir 20 tahun dalam bilik kuliah.

“Semua yang dilafazkan disandari dengan hujah dan kajian ilmiah. Namun, disebabkan ada pihak yang iri hati dan biadab kepada ilmu, Aziz Bari digantung tugas,” kata beliau lagi.

Tambah beliau, hasil desakan mahasiswa yang pada akhirnya UIA menarik balik penggantungan tugas Aziz.

“Bagaimanapun, siasatan terhadap beliau masih diteruskan. Atas dasar apa pun kita tak tahu.

“Kenyataan-kenyataan Aziz Bari sering dilihat tidak begitu memihak kepada parti pemerintah. Ada juga pendapat beliau yang menghentam stail pimpinan parti pembangkang,” kata beliau.

Pemimpin pelajar ini berkata, Aziz tidak ada apa-apa kepentingan melainkan untuk bersuara demi maruah ilmu.

“Demi martabat akademik dan hujah kebenaran.

“Syukur tampak ramai para ilmuan yang mula berani tampil ke hadapan. Mempertahankan apa yang mereka percaya, yakin dan perjuangkan iaitu prinsip kebebasan akademik,” katanya sambil menambah, “kebebasan akademik dan martabat ilmu adalah tanggungjawab mereka yang menyampaikan ilmu dan menuntut ilmu.”

“Sama ada mahasiswa atau pensyarah, wajar bersolidariti dalam hal ini,” katanya lagi sambil menambah, mahasiswa tidak berfikir dua kali untuk bersama-sama ahli akademik berdemonstrasi di Putrajaya bagi menuntut kebebasan akademik secara total.

malysian insider/-

Tiada ulasan: