04 November 2011

Hidung dedah rahsia

7 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

SEGAMAT: Pada 26 Ogos lalu, seorang lelaki mendakwa menemui seorang bayi ditinggalkan di depan sebuah pasar raya di bandar ini dan Selasa lalu, dia ditahan selepas siasatan polis mendapati suspek adalah bapa bayi malang itu.

Tindakan bijak pegawai penyiasat kes yang meminta lelaki berusia 21 tahun itu untuk menyerahkan sampel asid deoxyribonucleic (DNA) selepas mendapati hidung bayi serta lelaki terbabit serupa akhirnya berjaya membongkar penipuan berkenaan.

Ketika mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Majid Mohd Ali berkata, hasil ujian DNA dilakukan Jabatan Kimia diperoleh pihaknya Selasa lalu, suspek terus ditahan di kediamannya di Felda Selancar untuk membantu siasatan.

“Kami menahan suspek yang bekerja sendiri pada jam 10 pagi, dia tidak mengakui melakukan kegiatan terkutuk itu, tetapi keputusan DNA membuktikan sebaliknya.


“Kami berhempas pulas menyelesaikan kes ini kerana tidak puas hati dengan sikap mereka yang membuang bayi, syukur kerana tindakan bijak pegawai penyiasat dibantu dengan pegawai juga anggota lain berjaya membongkar penipuan itu,” katanya, semalam.

Pada masa sama, menurut Majid, pihaknya turut menahan teman wanita suspek yang berusia 18 tahun yang bekerja di sebuah kedai makan di Jalan Genuang, kerana disyaki melahirkan bayi perempuan berkenaan.

Hasil siasatan awal, remaja perempuan terbabit mengaku melahirkan serta membuang bayi itu di depan pasar raya berkenaan.

“Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 kerana membuang bayi, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, pada tarikh berkenaan, seorang lelaki mendakwa menemui bayi di dalam kotak diletakkan di depan pasar raya berkenaan pada jam 5 pagi ketika mahu bersahur.

Lelaki berkenaan kemudiannya mendakwa membawa pulang bayi itu ke kediamannya untuk dibersihkan dan diberikan pakaian baru sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat

Bayi itu kini ditempatkan di pusat jagaan Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan, Pahang untuk tempoh dua tahun sementara menunggu tindakan susulan.

METRO/-

Tiada ulasan: