11 November 2011

Lucas Papademos dinamakan Perdana Menteri baru Greece

14 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

ATHENS 11 Nov. – Seorang tokoh bank terkemuka, Lucas Papademos (gambar) dinamakan sebagai Perdana Menteri baru kerajaan sementara Greece, yang dilanda krisis hutang, selepas empat hari rundingan dijalankan.

Bekas Naib Presiden Bank Utama Eropah berusia 64 tahun itu, akan mengetuai kerajaan campuran yang terdiri daripada Parti Sosialis dan pembangkang konservatif yang akan memerintah sehingga awal pilihan raya pada Februari ini.

“Kini ekonomi Greece menghadapi masalah besar walaupun beberapa usaha telah dijalankan.

“Langkah yang diambil tidak begitu mudah tetapi saya yakin masalah ini akan diselesaikan dengan cepat dan pada kos yang lebih kecil jika ada perpaduan, persefahaman dan kebijaksanaan,” kata Papademos dari rundingan kerajaan campuran yang ditaja oleh Presiden Karolos Papoulias.

Papademos akan menggantikan Perdana Menteri, George Papandreou daripada Parti Sosialis bagi menguruskan pinjaman daripada Eropah berjumlah AS$177 bilion (RM558 bilion) yang diluluskan semasa sidang di Brussel pada 27 Oktober lalu bagi menyelamatkan Greece daripada kemelut hutang.

Ia merupakan bantuan kedua terbesar selepas pakej bantuan kewangan pertama berjumlah AS$150 bilion (RM473 bilion) yang dianggap tidak mencukupi untuk mengelakkan Greece daripada muflis.

Tambahnya, Kabinet baru Greece akan mengangkat sumpah petang ini (waktu tempatan). – Reuters

Tiada ulasan: