11 November 2011

Pemuda PAS Larut korban 21 ekor lembu.


14 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
Abd Qahar Shamsudin

Larut: Sempena sambutan Eidul Adha, Dewan Pemuda PAS Larut telah berjaya menunaikan ibadah qurban dengan menyembelih 21 ekor lembu dan 3 ekor kambing. Kesemua jumlah tersebut telah dilaksanakan diseluruh Parlimen Larut yang melibatkan DUN Kubu Gajah, DUN Selama serta DUN Batu Kurau. Program selama tiga hari berturut-turut ini diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Larut, Ustaz Mohd Nazri Din dan dibantu oleh Timbalannya, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin.

Menurut Ketua Pemuda PAS Larut, Ustaz Mohd Nazri Din, daging qurban tersebut telah diagihkan kepada lebih seribu orang keluarga yang terdiri daripada keluarga miskin, OKU, warga emas dan ibu tunggal yang terdapat diseluruh Parlimen Larut. Agihan ini dilakukan melalui serahan rumah ke rumah. “Agihan ini melibatkan semua penduduk, tidak kira samada mereka orang UMNO atau orang PAS. Yang penting bagi kita ialah agihan ini adalah untuk seluruh rakyat yang berhak. Insya Allah apabila kita memerintah, inilah konsep yang akan kita laksanakan”. Ujar beliau ketika ditemui selepas mengagihkan daging qurban dirumah seorang penduduk.

Sementara itu menurut Timbalan Ketua pemuda PAS Larut, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin. Beliau menyifatkan sambutan terhadap program ibadah qurban kali ini sungguh meriah kerana kesemua tempat yang diadakan program ini mendapat sambutan yang hebat dari masyarakat setempat. “Kita tidak menyangka program ibadah qurban kali ini bukan hanya dihadiri oleh ahli-ahli dari Pakatan Rakyat, malah ahli-ahli UMNO turut menghadirkan diri bahkan membantu melapah daging qurban bersama-sama kita, ini membuktikan segala kerja-kerja berkebajikan kita selama ini dapat menawan hati rakyat dan gelombang kebangkitan rakyat ini akan diterjemahkan melalui peti undi, Insya Allah”. Ujar beliau setelah selesai menyempurnakan penyembelihan qurban dekat sini.

Program ini diserikan lagi dengan kehadiran Setiausaha Pemuda PAS Perak, Saudara Salman Salleh pada hari ketiga di DUN Kubu Gajah.

Tiada ulasan: