24 November 2011

Umno Selangor bawa 36 isu lapuk

28 Zulhijjah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali (gambar) menyifatkan tindakan Umno mensasarkan 36 isu utama bagi merampas balik Selangor sebagai lapuk.

"Bagi kita itu bukan isu baru tetapi merupakan isu lapuk dan juga fitnah yang diulang tayang oleh Umno yang sudah ketandusan idealisme perjuangan dan juga nilai moral.

"Bagi Keadilan, kita akan maju ke hadapan dengan asas yang kukuh melalui penguasaan ekonomi demi mengangkat martabat rakyat Malaysia," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa.

Mengenai Kongres Nasional PKR ke-8, katanya ia bukan sekadar acara tahunan tetapi cukup penting untuk melihat persiapan anggota parti di semua peringkat bagi menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 nanti.

"Kongres kali ini merupakan satu signifikan kerana kita adakan di Johor yang mana merupakan kubu kuat Umno sebelum ini.

"Ia juga merupakan isyarat kepada Umno bahawa kita sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum terutamanya menembusi kubu kuat Umno di Johor," jelasnya.

Tambahnya lagi, perbahasan perwakilan pada kali ini lebih tertumpu kepada persiapan parti untuk menghadapi pilihan raya.

Ini, katanya berdasarkan kepada dokumen-dokumen yang telah pun siap dan dilancarkan termasuk dasar bersama Pakatan Rakyat yang disusuli Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan Rakyat yang dibentangkan sebelum ini.

"Kesemua dokumen-dokumen itu bagi kita cukup untuk membuktikan bahawa Keadilan terutamanya Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk menerajui Putrajaya.

"Ini dapat diperkukuhkan lagi dengan prestasi pengurusan ekonomi di kesemua negeri Pakatan Rakyat yang disahkan sendiri oleh Laporan Ketua Audit Negara pada tahun ini," jelasnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: