15 Disember 2011

Perselisihan Karpal dan Ramasamy selesai

19 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Ekoran permohonan maaf dan penarikan balik berita oleh akhbar Tamil Makkal Osai, kesemua pemimpin DAP yang terlibat dalam isu Karpal dan Ramasamy setuju ia diselesaikan.

Penal tiga anggota yang dibentuk DAP membuat keputusan bersama Karpal Singh dan Prof P Ramasamy, DAP perlu terus bergerak ke depan dan menyelesaikan perbezaan kalau masih ada melalui saluran dalam DAP sendiri.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh tiga anggota penal yang dibentuk DAP untuk menyelesaikan masalah itu hari ini.

Ketiga-tiganya adalah Ketua anggota Parlimen DAP Lim Kit Siang, Penasihat Seumur Hidup DAP Dr Chen Man Hin dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Semalam, 14 Disember, Ketua Editor Makkal Oosai M. Rajan telah mengeluarkan pembetulan dalam laporan mereka berkaitan dengan laporan 28 November mereka.

Dalam pembetulan itu, Oosai mengakui laporan 28 November mereka yang melaporkan tentang calon DAP dalam pilihanraya akan datang bukannya bersumberkan dari P Ramasamy dan melahirkan rasa sedih kerana berita itu menyebabkan berlaku pertembungan umum antara Karpal dan Ramasamy.

Dengan harapan perbezaan ini dapat diselesaikan segera, Ketua Editor Makkal OOsai itu menyanjung tinggi jasa kedua-dua pemimpin itu.

“Untuk kita, Karpal Singh dan Professor Ramasamy adalah pemimpin yang terpenting. Karpal Singh adalah pejuang dalam barisan pembangkang yang amat disanjungi di negara kita. Beliau telah melalui banyak penderitaan dan dugaan. Beliau berpegang teguh kepada prinsip parti dan berjuang sehingga masuk ke penjara.

“Seperti itu juga, pemberian jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada seorang India adalah sejarah dalam politik negara kita. Pada pilihanraya lepas, Professor Ramasamy telah memenangi DUN dan Parlimen di Penang dan menjadi Timbalan Ketua Menteri. Beliau juga memberikan khidmat yang baik kepada masyarakat India Pulau Pinang dengan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri tersebut,” tulis Rajan dalam kenyataan pembetulannya sebagaimana yang dipetik oleh ketiga-tiga mereka hari ini.

Sehubungan itu, ketiga-tiga pemimpin kanan DAP itu termasuk Karpal dan Ramasamy sedar harapan tinggi yang diberikan rakyat kepada mereka dalam usaha untuk membentuk lanskap baru politik dalam PRU 13 khasnya, membawa sistem dua parti dan seterusnya usaha menukar kuasa di Putrajaya.

"Mengambil kira kenyataan penjelasan Makkal Oosai dan rakyat yang mahukan perpaduan, pemimpin DAP, Karpal dan Ramasamy mengambil keputusan untuk bergerak ke depan sebagai satu pasukan yang solid dalam persiapan akhir menuju PRU 13 yang sudah tidak berapa bulan itu," kata mereka bertiga.

Mereka juga berkata, semua perbezaan akan diselesaikan melalui saluran parti untuk mempekuatkan parti.

"Hanya dengan cara itu, DAP dan Pakatan Rakyat dapat melawan dan menewaskan Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya ke 13 nanti," kata mereka.

Harakah Daily

Tiada ulasan: