15 Disember 2011

SMS terakhir buat isteri

19 Muharram 1433H. [MOD] -

TAMPIN – “Salam ma, ayah dah sampai jam 6 pagi ni. Ni last kredit K. Jaga anak-anak kat umah tu K. Lebih-lebih lagi Arif K”. Itulah khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir diterima isteri mangsa kemalangan maut di kilometer 5.5, Jalan Air Kuning-Nyalas, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 4.45 petang itu, mangsa yang juga anggota tentera, Kasim Md Nor, 32, dipercayai dalam perjalanan pulang dari Kem Syed Sirajuddin Gemas ke kediamannya di Taman Mutiara Sungai Rambai, Melaka.

Isteri mangsa, Lina Abdullah, 37, berkata, dia sememangnya sudah berasa tidak sedap hati apabila panggilan telefon dan mesej yang diberikan melalui SMS tidak berbalas dari suaminya.

“Akak cuba menghubungi suami akak sehingga petang semalam, namun hampa apabila panggilan tidak berangkat dan mesej juga tidak berbalas. Bagaimanapun, akak sempat memasak sambal ayam kegemarannya untuk menanti kepulangannya seperti biasa.

“Namun, sehingga lewat petang, suami akak masih juga belum pulang dan selepas maghrib, sebuah van tentera berhenti di hadapan rumah akak dan memaklumkan mengenai berita memeranjatkan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), semalam.

Lina berkata, arwah sudah mula berulang-alik dari Kem Syed Sirajuddin sejak 22 Disember tahun lalu selepas mereka sekeluarga membuat keputusan untuk berpindah dan menetap di Melaka.

Menurutnya, sepanjang lebih 13 tahun berumah tangga, mereka dikurniakan tiga anak yang kini berusia tiga hingga 12 tahun dan dia berasa sangat sayu apabila mengenangkan mesej terakhir suaminya untuk menjaga anak-anak dengan baik terutamanya yang bongsu.

“Malah, malam beberapa hari sebelum kejadian juga, suami saya sempat berpesan kepada anak perempuan yang sulung untuk sentiasa menolong saya di rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian berkenaan dan berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan lain.

Menurutnya, sebaik tiba di selekoh, mangsa dipercayai bergesel dengan lori dan maut di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah. Mayat dihantar ke HT untuk bedah siasat.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan diharap orang ramai yang melihat kemalangan ini supaya tampil untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali di talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: