26 Januari 2012

‘Bandar tahi burung’

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KOTOR...pembahagi jalan di bandar Jasin dicemari najis burung.

JASIN: Keindahan ‘Bandar Bestari’ di sini, kini bagaikan hilang seri apabila najis burung mencemari beberapa kawasan bandar berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Tinjauan Metroplus ke bandar Jasin yang terbahagi dua iaitu bandar baru dan lama itu mendapati kawasan komersial serta bangunan yang dibina sebelum merdeka dipenuhi najis burung.

Masalah diburukkan lagi apabila bandar Jasin menjadi persinggahan unggas yang dipercayai berhijrah dari kawasan Asia Timur pada setiap awal atau penghujung tahun berikutan musim sejuk di sana.

KOTOR...kanvas penghadang matahari di sebuah kedai di bandar Jasin yang dicemari najis burung.

BERTINDAK...Ranjendran memasang plastik bagi menghalang burung bersarang di siling kedainya.

Najis berwarna putih itu mencemari papan tanda perniagaan, dinding bangunan dan lantai serta pembahagi jalan di kawasan berkenaan.

Peniaga, S Rajendran, 40, berkata hampir setiap hari dia dan pekerjanya membersihkan kawasan hadapan kedainya akibat dicemari najis burung yang bertenggek di bahagian atas bangunan kedai disewanya itu.

Katanya, bagi mengelakkan burung bersarang di siling hadapan kedainya, dia menutupnya dengan plastik.

“Kehadiran burung berkenaan mencemarkan kawasan ini, malah burung itu menjadikan wayar lampu tanglung yang dipasang di situ sebagai tempat bertenggek pada waktu malam.

“Hampir keseluruhan bandar ini dicemari najis burung dan boleh dilihat jelas dengan ia memenuhi papan tanda perniagaan.

“Masalah ini sudah kronik dan kami sangat berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasinya,” katanya di sini. Sementara itu, pembantu kedai makan, Habib Ibrahim, 18, berkata antara burung yang mendiami kawasan bandar ini ialah tiung, merpati, layang-layang dan walet.

Katanya, kawasan itu dipercayai menjadi penarik bagi burung berkenaan apabila terdapat pihak memasang bunyian bagi menarik kehadiran burung walet dan mungkin ia juga menarik unggas lain.

“Pada waktu senja kawasan ini dipenuhi ribuan burung sehingga menimbulkan bunyi yang terlalu bising.

“Pencemaran najis burung itu juga menyebabkan bau busuk sehingga kami tidak lagi menyewa tingkat atas sebagai kediaman,” katanya.

Seorang lagi peniaga yang enggan dikenali berkata, masalah pencemaran najis itu dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan orang ramai.

Katanya, umum mengetahui burung boleh menjadi haiwan bawaan penyakit seperti influenza.

“Kebimbangan ini timbul sejak berlakunya penyakit seperti selesema burung dan saya berharap pihak berkuasa mengatasi masalah itu dengan segera,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Murad Hussin, ketika dihubungi berkata pihaknya mengambil langkah untuk mengatasi masalah itu antaranya memasang alat yang mengeluarkan bunyi pada frekuensi tertentu bagi menghalau unggas itu.

Katanya, kaedah itu dipraktikkan di Sabah bagi menghalau burung di Stadium Likas, namun selepas beberapa tahun unggas itu menjadi imun dengan bunyi burung itu.

“Di samping itu, kami juga sudah mengeluarkan notis terhadap pengusaha burung walet di kawasan berkenaan supaya memindahkan operasi mereka ke kawasan lain bagi mengelakkan unggas lain bertumpu ke situ.

“Kami juga membersihkan kawasan sekitar yang dicemari najis burung itu kecuali kawasan kedai yang juga milik persendirian,” katanya.

METRO/-

Tiada ulasan: