13 Februari 2012

Ugut bunuh adik, abang dijel sehari

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Abang yang diharap dapat melindungi keluarga, sanggup bertindak luar kawalan sehingga sanggup mengugut bunuh adik-beradiknya sendiri.

Bagaimanapun, tindakan si abang itu tidak berbaloi apabila kedua-duanya, iaitu Mohd Noor Yusof, 40, dan Mohd Dahan @ Mohd Amran Yusof, 36, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh menghadapi pertuduhan bersama iaitu telah mengeluarkan kata-kata ugutan membunuh kepada ahli keluarganya iaitu Mohd Rosli Yusof, 28, dan Muhammad Fauzi Yusof, 19, pada 6 Februari lalu, kira-kira jam 7.30 malam di belakang Taman Koperasi, Padang Midin, di sini.

Dengan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sebaik pertuduhan dibacakan, Mohd Noor mengaku bersalah di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim, yang kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama sehari dan denda RM3,000. Jika gagal membayar denda, hukuman penjara tiga bulan akan dikenakan.

Manakala Mohd Dahan pula mengaku tidak bersalah dan Abdul Hayyi kemudiannya menetapkan tarikh 18 Mac depan sebagai tarikh sebut semula dan menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,000.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda.

Sinar Harian

Tiada ulasan: