13 Februari 2012

Malaysia dicadangkan panggil Duta Syria

20 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mencadangkan kerajaan Malaysia memanggil Duta Syria ke Malaysia di samping mendesak OIC bertindak tegas terhadap kekejaman Syria terhadap rakyatnya.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam kenyataannya berkata, OIC perlu menempatkan pemerhati dan tentera bagi memantau situasi di Syria.

Tekanan perlu dibuat kepada Kerajaan Syria bagi patuh kepada norma-norma Islam dan antarabangsa dalam menghormati hak rakyat Syria.

PPMM juga menyeru Kerajaan Malaysia memanggil Duta Syria menzahirkan kebimbangan Malaysia terhadap keadaan di Syria dan memberi kata dua kepada Kerajaan Syria mengembalikan keamanan di Syria.

Kezaliman bukan merupakan suatu pilihan bagi menanhani isu perjuangan rakyat, katanya.

"PPMM yakin Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati masyarakat antarabangsa mampu memainkan peranan dan menggerakkan usaha bermuafakat dengan negara Islam yang lain mencari jalan penyelesaian isu kekejaman di Syria ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PPMM amat prihatin dengan suasana yang berlaku di Syria ketika ini. Pembunuhan beramai-ramai yang semakin berleluasa oleh Kerajaan dan tentera Syria perlu dihentikan serta merta.

Sehingga kini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan serai 6000 orang telah dibunuh sejak kebangkitan rakyat Syria pada bulan Mac 2011.

Kejadian ini adalah ulangan kekejaman yang dilakukan oleh bapa Bashar Al Assad iaitu Hafez al Assad yang telah membunuh 40,000 rakyat Syria di Hama pada tahun 1982 dalam tempoh 27 hari mengikut perangkaan Syrian Human Rights yang dipimpin oleh adik Hafez iaitu Rifaat Al Assad dari puak Syiah Alawi.

Pembunuhan pula dikatakan terarah kepada masyarakat Sunnah yang mahukan kebebasan di Syria.

Adalah amat malang bagi masyarakat dunia yang bertamadun PBB telah gagal menangani kezaliman ini secara tuntas, kata Zainul.

"PBB sebagaimana yang kita ketahui tetap menjaga anggota tetap Majlis Keselamatan dan sekutunya.
Struktur PBB yang memberikan kuasa veto kepada anggota-anggota tetap Majlis Keselamatan sering menggagalkan usaha meningkatkan keamanan dunia khususnya di Timur Tengah," jelasnya.

Ekoran itu, katanya, dalam banyak keadaan umat Islam telah punah kepercayaannya kepada PBB yang sering dilihat tidaka berupaya mengambil sebarang tindakan yang tuntas dalam menyelesaikan polemik yang dihadapi umat Islam kerana dibayangi kuasa-kuasa besar dunia.

Oleh itu, katanya, PPMM menyeru Pertubuhan Negara Islam (OIC) mengambil tindakan tegas dengan segera terhadap Syria yang merupakan salah sebuah anggota OIC.

"Jika PBB gagal menangani isu ini, janganlah OIC juga melepaskan tangan dengan hanya memandang sahaja pembunuhan demi pembunuhan di bumi Syam itu," tegas beliau.

PPMM juga menyeru Kerajaan Malaysia supaya mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Kerajaan Syria bagi menegaskan penghormatan Malaysia terhadap hak asasi rakyat Syria.

PPMM akhirnya menyeru Kerajaan Syria mengembalikan keamanan di Syria dan menghormati hak-hak masyarakat tanpa mengira samada mereka pengikut Syiah ataupun Sunnah.

Lebih penting lagi perjuangan untuk melaksanakan demokrasi di Syria perlu diberi ruang agar keadilan akan menjadi tunjang kepada sistem perundangan di Syria.

Kezaliman yang dilakukan oleh tentera Syria akan hanya meningkatkan pemberontakan di Syria dan akhirnya rakyat keseluruhan akan bangkit melawan kezaliman sebagaimana yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah.

PPMM mengajak Kerajaan Syria mengambil iktibar dari situasi yang berlaku di beberapa negara Timur Tengah beberapa tahun ini.

Pilihan yang tepat bagi menyelesaikan isu ini adalah berunding dengan rakyat tanpa mengira mazhab serta memberikan lebih hak kepada rakyat melaksanakan demokrasi di Syria, katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: