02 Mac 2012

Antara 'gadai akidah' Najib dan 'syirik' Zambry

9 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyokong cadangan agar satu garis panduan untuk berkunjung ke rumah-rumah ibadat bukan Islam dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti yang dicadangkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar).

Timbalan ketuanya, Dr Raja Ahmad al-Hiss berkata cadangan tersebut wajar dikemukakan berdasarkan kenyataan awal Harussani berikutan kekeliruan terhadap kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada perayaan Thaipusam baru-baru ini sebagai ‘menggadai akidah’.

Katanya, banyak pihak dan umat Islam keliru dengan kenyataan Harussani terhadap kehadiran Najib ketika itu, pada awalnya mengatakan ‘haram’ dan pada hari berikut pula mengatakan sebaliknya.

Beliau berkata, seperti mana juga yang pernah Pemuda PAS kemukakan aduan dahulu berikutan perbuatan ‘syirik’ Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika majlis perasmian pembinaan rumah di Manong, Kuala Kangsar dengan meletakkan ancak ketika menaikkan tiang seri rumah.

“Pada awal kenyataan Tan Sri Harussani juga sama iaitu mengatakan perbuatan tersebut sebagai ‘syirik’.

“Dan umum mengetahui pada hari berikutnya pula, Tan Sri Harussani mengatakan sebaliknya dan sekali lagi umat Islam agak keliru dengan kenyataan yang tidak konsisten tersebut,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, umum mengetahui, ramai kalangan ulama yang melihat sendiri perbuatan Zambry melalui rakaman video dan gambar tersebut yang dibekalkan ketika itu jelas mengatakan perbuatan tersebut sebagai ‘syirik’, tetapi tiba-tiba sahaja Harussani mempertahakan kenyataan awalnya dengan mengatakan sebaliknya sehingga kini.

“Sepatutnya garis panduan yang sama perlu dikemukakan oleh Jakim kerana ianya jelas satu perbuatan ‘syirik’ yang dilakukan oleh pimpinan utama negeri iaitu Datuk Seri Zambry ketika itu,” katanya.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Baei berkata...

Panduan dalam Islam sudah ada, rujuk kepada buku tauhid atau akidah. tapi kalau ada panduan itu sebagai satu pencerahan sahaja. Tetapi soal yang paling penting ialah kenyataan mufti jangan mengelirukan orang. Sepatutnya sebelum buat kehyataan dia kena turun padang dan lihat sendiri hujah dan alasan dan fakta. kalau jelas bercanggah bolehlah menetapkan hukuman.