02 Mac 2012

Pertemuan mahabbah PAS Pusat, Kedah malam esok

9 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Semua ahli jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan pertemuan mahabbah dengan PAS Kedah malam esok bagi mendengar segala permasalahan di pihak kepimpinan parti negeri itu.

Naib Presidennya, Salahudin Ayub (gambar) berkata, pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Kedah bagi bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

"Kami mengambil keputusan untuk mengadakan pertemuan pada Sabtu di Alor Setar, Kedah di mana kami akan mengadakan perjumpaan mahabbah di antara kedua-dua belah pihak iaitu Ustaz Azizan dan Datuk Phahrolrazi," kata beliau selepas mesyuarat khas jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung kira-kira empat jam di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Mesyuarat kira-kira empat jam itu diadakan bertujuan menyelesaikan kemelut di Kedah selepas Phahrolrazi enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu berkata, PAS Pusat yakin isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik setelah mengadakan 'pertemuan mesra' dengan semua peringkat di Kedah.

"Malam ini kami telah mengadakan perjumpaan secara harmoni, dan mengambil berat apa yang berlaku.

"Oleh itu, PAS akan turun bermesra dengan semua peringkat iaitu Dewan Ulama, Pemuda dan perhubungan negeri dan akan dengar semua pandangan dan penyelasain sedang diatur dan saya yakin PAS akan muncul lebih kuat selepas ini," katanya.

Turut bersama pada sidang media, setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.

Selasa lalu, Mohamad Sabu, Salahudin Ayub dan Penolong Setiausaha Agung, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Azizan dan Phahrolrazi secara berasingan bagi menyelesaikan masalah mereka.

Hasil pertemuan tersebut dibawa ke mesyuarat malam tadi.

Selasa lalu, lapan Exco Kedah mengangkat sumpah jawatan masing-masing di depan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Dua lagi exco iaitu Phahrolrazi dan Datuk Dr Ismail Salleh dijangka akan mengangkat sumpah jawatan mereka selepas ini.

Bagaimanapu, Phahrolrazi dikatakan enggan menyambung jawatannya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: