12 Mac 2012

Lebih 30 kenderaan terkandas

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KULIM - Banjir. Begitulah yang terjadi di jalan Sungai Ular di mana lebih 30 kenderaan terkandas dan terpaksa menunggu kira-kira satu jam bagi memastikan paras air surut.

Selain motosikal, pelbagai jenis kenderaan kecil lain dilihat mengalami kerosakan setelah meranduk air banjir sedalam kira-kira 0.5 meter.

Dari tinjauan dibuat mendapati tekanan air dari Sungai Ular tidak dapat disalirkan dengan lancar setelah limpahan air bukit memenuhi sepanjang parit.

Ia berlaku berikutan laluan air bawah tanah sedia ada tidak mampu menampung kuantiti air berkenaan lalu melimpah.

Kakitangan awam, Saari Mohamad Noor, 35, berkata, masalah itu sering berlaku tetapi tidak ada mana-mana pihak mengambil tindakan segera untuk memastikan masalah itu dapat diselesaikan.

“Air yang turun dari bukit deras dan ia mengakibatkan banyak kenderaan kecil takut untuk merandok air kerana khuatir kenderaan mereka rosak atau dihanyutkan. Sebelum ini pernah seorang penunggang motosikal dihanyutkan oleh arus deras bagaimanapun orang ramai yang berada di tempat kejadian sempat menyelamatkannya. Diharap Jabatan Kerja Raya (JKR) memandang serius masalah ini dari terus berlarutan,” katanya.

Sementara itu beberapa bongkah batu dan pokok kelapa sawit dilihat tumbang ditengah jalan dan menghalang perjalanan pengguna jalan raya.

Menurutnya, selain itu hakisan serius juga kelihatan dengan jelas di dinding lereng bukit dan kejadian ini boleh mengakibatkan runtuhan tanah.

Sekiranya berlaku runtuhan tanah, lebih ramai pengguna jalan raya bakal berdepan dengan bahaya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: