12 Mac 2012

Cemas lori terbakar

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

PERAI – Tindakan pantas seorang pemandu lori kontena yang memberhentikan kenderaan di tepi jalan menyelamatkan nyawanya, selepas lori itu tiba-tiba terbakar dalam satu kejadian berhampiran Bulatan Perusahaan Perai, kira-kira jam 2.45 petang kelmarin.
Zainol Omar, 43, berkata, dia terlebih dahulu mendengar bunyi pelik ketika memandu lori berkenaan.

Menurutnya, tidak sedap hati dengan bunyi itu, dia kemudiannya memberhentikan kenderaan ketika menghampiri bulatan dan belum pun sempat mematikan enjin, lorinya itu sudah terbakar.

“Saya dalam perjalanan pulang ke depot kontena syarikat selepas menghantar barangan alat ganti kenderaan di sebuah kilang di Kulim, Kedah.

“Saya kemudiannya melompat keluar dari lori bagi menyelamatkan diri kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku. Lima minit kemudian, kepala lori terbakar.

“Mujur sempat keluar, jika tidak tak tahu apa yang akan jadi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan Dua Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Mohd Asri Abdul Wahab, berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lima anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

Menurutnya, masa selama 10 minit diambil untuk memadam kebakaran dari terus merebak ke bahagian lain kenderaan.

Begitupun katanya, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Tiada ulasan: