12 Mac 2012

PAS Kuala Kedah terima semua keputusan Pusat

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR, 12 Mac: Krisis kerajaan negeri Kedah dianggap selesai apabila PAS Kuala Kedah sebulat suara menerima penyelesaian yang diumumkan oleh PAS Pusat baru-baru ini.

Menurut Setiausaha PAS Kawasan Kuala Kedah, Aris Awang (gambar bawah) sebagaimana yang dimuatkan dalam facebooknya, mesyuarat PAS kawasan petang semalam sebulat suara bersetuju dan akur terhadap keputusan serta arahan PAS Pusat.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas PAS Kawasan Kuala Kedah yang bersidang pada 5.30 petang, Ahad, 11 Mac di Markaz PAS Kawasan Kuala Kedah, Kampung Kuala Sungai, Kubang Rotan.

Keputusan tersebut adalah:

a. Penubuhan Jawatankuasa Pemandu.

b. Datuk Seri Hj Azizan Abd Razak kekal sebagai Menteri Besar Kedah.

c. Datuk Phahrolrazi Zawawi menerima semula jawatan sebagai exco negeri Kedah.

"Mesyuarat sebulat suara bersetuju bahawa semua keputusan yang diputuskan sebelum ini dimansuhkan serta merta," kata Aris Awang.

PAS kawasan Kuala Kedah adalah pusat krisis di Kedah apabila kawasan itu memutuskan pimpinan mereka menolak sebarang perlantikan exco dari kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Azizan Razak.

Ketika Phahrolrazi dan Dr Ismail Salleh tidak menyertai exco kerajaan negeri, Datuk Amirudin Hamzah menyertainya.

Ekoran itu, PAS kawasan memutuskan exco kerajaan negeri, Datuk Amiruddin Hamzah memberikan penjelasan.

Dengan keputusan baru ini bermakna keputusan itu dibatalkan.

Mesyuarat juga, kata Aris, memutuskan satu majlis kesyukuran dan ceramah yang melibatkan Datuk Phahrolrazi Zawawi, Datuk Amiruddin Hamzah dan Mohd Nasir Mustafa (Adun Kubang Rotan) akan diadakan dalam jangka masa terdekat ini.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: