12 Mac 2012

Anak temui mayat bapa yang telah reput

19 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN — Seorang lelaki menemui mayat bapanya yang telah reput dalam rumah kedai barangan terpakai milik bapanya di Jalan Magazine awal pagi tadi.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Wan itu menemui mayat bapanya Wan Hock Pin, berusia 60-an, pada kira-kira pukul 1 pagi setelah pergi ke rumah bapanya yang tinggal seorang diri.

Katanya, beliau tidak menghubungi bapanya selama tiga minggu lepas kerana beranggapan bapanya pergi ke luar negara setelah tidak menjawap panggilan telefon sebelum itu.

"Saya fikir bapa tiada di rumah kerana ke luar negara (China dan Singapura) untuk melawat saudara mara kerana bapa sering ke sana. Lagipun setahu saya dia sentiasa sihat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Mayat itu ditemui dalam keadaan tertiarap dan tanpa berpakaian berhampiran tandas dan sebahagian tubuh badannya telah reput.

Beliau yang tinggal berasingan di Seberang Perai berkata, sebelum itu, beliau tidak dapat memasuki rumah kedai bapanya kerana pintu terkunci dari dalam.

"Setelah mengesyaki sesuatu yang tidak kena, saya menghubungi bomba untuk memecah masuk dan kemudiannya terkejut apabila menjumpai mayat bapa saya berhampiran tandas,” katanya.— BERNAMA

Tiada ulasan: