14 Mac 2012

NFC: Pulangkan balik RM250 juta duit rakyat

21 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Pengumuman Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 8 April ini sesuatu yang dialu-alukan. Peletakan jawatan tersebut serentak dengan tamat penggal sebagai Ahli Dewan Negara atau dengan kata lain beliau tidak disambung sebagai senator. Tidak kisahlah sama ada dia meletak jawatan, tidak disambung jawatan senator atau apa-apa sahaja.

Yang penting, sebagai rakyat biasa, peletakan jawatan itu tidak memberikan apa-apa makna jika tiada tindakan susulan dilakukan. Rakyat mahu tahu apa status duit RM250 juta yang dipinjam oleh syarikat suaminya? Adakah hangus begitu sahaja? Atau dibayar semula seperti peminjam-peminjam lain.

Sedarlah wahai ibu, ayah, adik, abang... duit itu kita punya. Duit yang dikutip daripada setiap rakyat. Tetapi, malangnya mereka yang diberi kuasa membelanjakan untuk kesenangan diri sendiri.

Jika begitu, saya pun mahu meminjam juga. Dapat RM1 juta pun sudah memadai. Maklumlah, meminjam tetapi tidak perlu risau tentang bayaran balik. Jika jumlah wang yang sama diberikan kepada usahawan bumiputera RM1 juta seorang, bermakna akan ada 250 orang usahawan. Daripada jumlah tersebut, jika hanya 25 orang berjaya melebarkan perniagaan mereka – sudah cukup bagus.

Jika setiap tahun pinjaman yang sama dianugerahkan kepada peniaga bumiputera yang lain pula, maka jika selepas empat tahun sudah tentu akan ada 1,000 usahawan bumiputera. Bayangkan berapa banyak peluang pekerjaan yang boleh diwujudkan oleh usahawan tempatan sendiri. Tidak perlu bersusah payah membawa pelabur asing untuk mewujudkan peluang pekerjaan.

Hakikatnya rakyat masih boleh manahan sabar jika duit tersebut digunakan sebaik mungkin untuk membantu rakyat. Ambil sahaja kaedah yang paling mudah, dengan duit sebanyak itu syarikat NFC boleh membeli lembu daripada penternak kecil-kecilan Melayu dan mengumpulkan disuatu tempat, dijaga secara moden dan dijual.

Dengan kata lain, NFC boleh bertindak sebagai orang tengah antara penternak kecil dengan pemborong besar. Penternak kecil akan menjaga lembu dari kecil hingga dewasa dan sesuai untuk dijual kepada NFC sebelum sampai ke tangan pemborong. Secara tidak langsung dapat membantu penternak bumiputera memasarkan ternakan mereka.

Yang berlaku sebaliknya, peminjam membelanjakan wang yang diperoleh secara mudah itu tidak mengikut tujuan asal pinjamannya. Mereka berbelanja ikut selera sendiri tanpa ada rasa bersalah pun menggunakan wang rakyat itu.

Ada contoh lain yang menunjukkan bahawa rakyat boleh menerima perkara yang tidak berlaku mengikut kebiasaannya. Dahulu, timbul isu pemberian AP, permit memimport kereta. Pada ketika itu timbul isu sebuah syarikat bumiputera menjadi penerima AP paling banyak.

Namun, isu itu tidak menjadi pertikaian kerana syarikat bumiputera terbabit berjaya membesarkan perniagaannya dalam bidang automotif dan berjaya membuka peluang pekerjaan kepada ramai bumiputera.

Kes ini membuka mata rakyat bahawa duit mereka telah disalah urus oleh pihak yang telah dipilih oleh rakyat untuk memegang amanah. Jika perkara ini boleh terjadi kepada Datuk Seri Shahrizat, maka adakah tidak berlaku kepada para menteri lain? Seperti yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Shahrizat bahawa bukan beliau seorang sahaja yang terlibat, maka adakah beliau bermaksud menteri lain juga turut mendapat “pinjaman” melalui kaedah yang sama? Banyak teka-teki yang timbul daripadanya.

Kesimpulannya, rakyat mahu dana awam itu dikembalikan kepada tempat yang berhak. Bukan sekadar melepas jawatan dan berharap terlepas daripada tindakan undang-undang. Cukuplah rakyat menderita dengan kenaikan kos sara hidup, cukai yang semakin meningkat, nilai duit yang semakin mengecil berbanding nilai barangan semasa, pemotongan subsidi dan bermacam lagi.

harakahdaily/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sepandai pandai tupai melompat akhirnya terjelepuk jugak.. kak ejat..bayaqla balik duit rakyat..kami terpaksa ikat perut untuk sara diri dan keluarga..PM..byk lagi rakyat malaysia yg merempat dan miskin tegar..carilah mereka..bantulah mereka..prihatin lah pada mereka..nasihatilah isterimu agar berbelanja dgn berhemah jgn penuh nafsu..kelak amat mengaibkan..

Tanpa Nama berkata...

apa gantiganti,kat izat bukan makan sorang,makan ramairamai xkan kat izat kena ganti