28 Mac 2012

Tepung ganti buih alat pemadam api

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendedahkan ada kontraktor penyelenggaraan alat pemadam api di negara ini dikesan menggunakan tepung gandum di dalam peralatan itu bagi menggantikan buih semata-mata untuk menjimatkan kos pengendaliannya.

Perkara itu didedahkan Penolong Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran jabatan berkenaan, Datuk Rusmani Muhamad ketika merasmikan Seminar Sistem Pemeriksaan Alat Pemadam Api Secara Elektronik (e-FEIS) di sini, semalam.

Beliau berkata, walaupun jumlahnya kecil, pihaknya mengesan perbuatan sedemikian yang menunjukkan ada kontraktor bersikap sambil lewa mengenai aspek keselamatan disebabkan terlalu memikirkan keuntungan.

“Perbuatan itu dikesan ketika kita melakukan pemeriksaan berkala untuk memastikan peralatan alat pemadam api boleh dan selamat digunakan ketika kecemasan.

“Selain menggunakan kandungan tidak mengikut spesifikasi, ada kontraktor tidak menyelenggara peralatan itu dengan baik dan teratur termasuk tidak meletakkannya di tempat yang dicadangkan,” katanya.

Mengikut rekod, ada tiga juta alat pemadam api di seluruh negara, termasuk 300,000 milik kerajaan dan selebihnya kepunyaan swasta yang diselenggarakan kira-kira 2,000 kontraktor yang dilantik.

Rusmani berkata, melalui sistem e-FEIS yang dibangunkan sejak awal tahun ini, pihaknya boleh mengesan kontraktor yang tidak menyelenggara alat pemadam api atau tidak memulangkannya semula selepas diperiksa.

“Sistem itu juga mampu mengeluarkan resit cetakan berkomputer atau kod bar untuk dilekatkan pada alat pemadam api bagi mengelak penipuan berbanding sebelum ini yang hanya bertulis tangan,” katanya.

Rusmani berkata, ketika ini jabatannya menyediakan 60 pusat pemeriksaan iaitu di balai bomba seluruh negara untuk membantu kontraktor mendaftar bagi e-FEIS dan jumlah pusat akan ditambah sehingga 90 dalam tempoh terdekat.

“Pada masa sama, jabatan juga membuka pendaftaran bagi competent person iaitu orang bertanggungjawab menjaga alat pemadam api yang dipilih kontraktor sebelum lantikan individu itu diluluskan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya.

BERITA HARIAN/-

Tiada ulasan: