28 Mac 2012

'Jangan ganggu kami', rayu ibu remaja ditemui di Thailand

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Kertas siasatan berhubung kes remaja perempuan yang merancang penculikan sendiri ke Thailand sudah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam untuk tindakan lanjut sementara ibu kanak-kanak itu minta agar mereka tidak "diganggu."

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supt Mazlan Othman berkata, proses siasatan telah selesai selepas kesemua lima remaja Myanmar, yang ditemui bersama remaja perempuan tempatan itu, diserahkan kepada wakil dari Suruhanjaya Tinggi

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

"Kesemua remaja Myanmar itu disahkan berdaftar dengan UNHCR dan memegang kad perakuan yang sah. Mereka diserahkan kepada wakil suruhanjaya itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau turut mengesahkan remaja perempuan berusia 14 tahun itu telah diserahkan kepada keluarganya di Seksyen 8 di sini kelmarin sebaik keluar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Remaja perempuan itu dan lima remaja Myanmar berusia antara 14 dan 17 tahun itu diselamatkan polis Thailand di Bangkok pada 19 Mac lepas, setelah mendakwa diculik ke negara jiran itu.

Sementara itu, ibu remaja perempuan itu Norazura Roski, 37, berkata anaknya kini ditempatkan di sebuah lokasi lain selepas diserahkan polis.

"Saya tidak mahu komen, anak saya selamat dan tolong jangan besar-besarkan cerita ini dan saya tidak mahu media datang rumah saya dan ganggu kami," katanya ketika dihubungi di sini.

Kelmarin, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata, remaja perempuan terbabit bukannya diculik sebaliknya merupakan perancang utama kejadian itu.

Remaja perempuan itu dilaporkan hilang pada 30 Jan lepas tetapi menghubungi ibunya pada 12 Mac lepas untuk memaklumkan dia berada di Thailand selepas diculik sekumpulan lelaki di stesen bas di Seksyen 9 di sini. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: