28 Mac 2012

Lelaki Nigeria edar ganja dihukum gantung

5 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Seorang lelaki rakyat Nigeria dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana mengedar dadah, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Sylvester Okole, 33, yang didapati bersalah mengedar dadah jenis ganja seberat 11,577 gram di Platform 8, terminal bas Shahab Perdana di sini pada
pukul 9 malam 7 Oktober 2010.

Sylvester didakwa mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, peguambela tertuduh memaklumkan bahawa anak guamnya adalah penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi di Bangkok dan terpaksa menyara diri sendiri kerana tidak mendapat bantuan kewangan daripada ibu bapa atau mana-mana pihak.

Sylvester yang berkemeja-T putih dan seluar hitam kelihatan tenang ketika jurubahasa mahkamah memaklumkan mengenai hukuman terhadapnya.

Tertuduh diwakili peguam B.Murthy manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naziah Mokhtar. – Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: