06 April 2012

AS hukum penjara pengedar senjata 'Merchant of Death'

14 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

NEW YORK - Pengedar senjata Viktor Bout, yang terkenal dengan panggilan "Merchant of Death", dihukum penjara 25 tahun oleh mahkamah Amerika Syarikat (AS), semalam.

Ketika hukuman dijatuhkan, bekas pegawai Kesatuan Soviet itu menjerit "itu pembohongan."

Pendakwa raya membentangkan kes dengan mendakwa Bout ada mengakui bahawa dia menjual senjata bagi membunuh rakyat Amerika.

Pada November lalu, Bout, 45, didapati bersalah cuba untuk menjual senjata berat kepada kumpulan pemberontakan Colombia.

Dia ditahan di Bangkok pada 2008 susulan siri operasi di mana pemberi maklumat AS menyamar sebagai pemberontak Colombia.

Bout, yang dilaporkan menjadi inspirasi bagi penyeludup senjata dalam filem Hollywood, Lord of War tujuh tahun lalu, berada dalam tahanan di Thailand selama dua tahun sebelum diekstradisikan ke AS untuk menghadapi tuduhan.

Pengumuman hukuman tertangguh dua kali ekoran permintaan peguam-peguamnya agar diberikan lebih masa untuk membuat persediaan dan mendakwa pendakwa raya telah memerangkap warganegara Rusia itu.

"Dua puluh lima tahun sudah cukup," kata hakim Shira Scheindlin selepas Bout menegaskan dia tidak bersalah.

Ketua Jabatan Peguam Manhattan, Preet Bharara dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata: "Viktor Bout telah bertindak sebagai penyeludup nombor satu senjata bertahun-tahun, membekalkan senjata bagi kebanyakan wilayah yang berkonflik di seluruh dunia."

"Dia akhirnya dibawa ke muka pengadilan di mahkamah Amerika," katanya lagi.

Kenyataan itu menambah Bout mula menyalurkan senjata kepada wilayah-wilayah yang berkonflik di Afrika pada 1990-an.

Sinar Harian

Tiada ulasan: