06 April 2012

Lelaki menyamar pesakit rompak klinik gigi

14 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GEORGE TOWN - Sebuah klinik pergigian di Lebuh Raya Batu Lanchang di sini kerugian lebih RM10,000 dalam bentuk wang dan barang-barang selepas disamun dua lelaki yang menyamar sebagai pesakit petang semalam. (Gambar Hiasan)

Ketua Polis Daerah Timut Laur ACP Gan Kong Meng berkata kejadian berlaku pada 4 petang apabila dua lelaki itu datang ke klinik berkenaan kononnya untuk mendapatkan rawatan.

"Semasa itu seorang doktor dan pembantunya, kedua-duanya wanita, berada dalam klinik berkenaan. Pembantu klinik itu meminta kad pengenalan mereka untuk direkodkan bagaimanapun dua lelaki terbabit tidak memberikannya dan menulis nama di atas borang. " katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selepas selesai mengisi borang, pembantu klinik berkenaan membawa seorang daripada lelaki itu ke dalam bilik rawatan.

"Sebaik sampai dalam bilik rawatan, lelaki itu bertindak mengeluarkan pisau dan meminta doktor serta pembantunya menyerahkan beg duit, telefon bimbit dan barang berharga," katanya.

Gan berkata doktor terbabit hanya menyerahkan telefon bimbit kerana beg duitnya berada di bilik lain sebelum lelaki berkenaan mengarahkan mangsa mengambilnya.

"Selain sejumlah wang tunai, dua lelaki itu turut melarikan sebuah komputer riba, sebuah i-Pad, seutas jam tangan dan alat pencabut gigi," katanya.

Klinik yang beroperasi dari 8.30 pagi hingga 7 petang itu memiliki kamera litar tertutup (CCTV), bagaimanapun dua lelaki terbabit turut melarikan perakam berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati dua lelaki berkenaan merupakan suspek yang sama menyamun sebuah klinik pergigian di Jelutong pada Rabu lepas.

"Operasi mengesan dua lelaki berkenaan sedang giat dilakukan dan kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan," katanya.

Agency

Tiada ulasan: