26 April 2012

Askar didakwa pecah rumah

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

AYER KEROH – Seorang askar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas 14 pertuduhan membabitkan pecah rumah dan curi sejak penghujung 2009, melibatkan kerugian RM45,899.

Norazlan Kamarulbahrin, 32, mengaku bersalah semua 14 pertuduhan daripada 13 kes yang didakwa terhadapnya di hadapan Hakim Zaharah Hussain.

Daripada 14 pertuduhan itu, Norazlan didakwa melakukan pecah rumah bermula 26 November 2009 sehingga 21 Mac 2012 di beberapa kawasan perumahan, antaranya Taman Sayang Selasih dan Taman Muhibbah di Klebang Besar serta Taman Pasir Emas dan Taman Cederawasih di Batang Tiga.

Dia ketika melakukan perbuatan itu mencuri barangan termasuk syiling dan wang tunai, bernilai kira-kira RM8,470, selain peralatan elektronik, barangan kemas dan gajet.

Norazlan juga didakwa telah melupuskan harta curi iaitu set sistem teater rumah bernilai RM899 di sebuah rumah di Taman Rambai Murni, Bukit Rambai kira-kira jam 4.30 petang pada 4 April 2012.

Norazlan didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda atau sebat dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan iaitu
penjara sehingga 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Juhari Haron memohon mahkamah menetapkan tarikh mendengar hukuman dalam tempoh seminggu dan meminta tertuduh diberi jaminan RM10,000 bagi setiap kes.

Bagaimanapun Norazlan memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menanggung ibunya yang menghidap barah dan dua anak buah.

Zaharah menetapkan tarikh jatuh hukuman pada 4 Mei depan dan membenarkan jaminan RM65,000 bagi 13 kes dihadapi Norazlan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: