26 April 2012

Asid tumpah atas jalan raya, laluan ditutup lima jam

4 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Kecuaian pemandu lori memandu laju di kawasan selekoh Jalan Pontian-Skudai, di sini mencetuskan panik apabila cecair kimia yang mengandungi 80 peratus asid sulfurik tumpah di atas jalan raya, kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila laluan terpaksa ditutup selama hampir lima jam bermula daripada restoran makanan segera McDonalds Skudai sehingga ke selekoh berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulai, Taman Universiti, Mohd Fakri Mazlan berkata, sebanyak tiga jentera digunakan dalam operasi itu dengan kekuatan 23 anggota bagi meneutralkan semula tumpahan cecair kimia berkenaan.

“Cecair berkenaan amat berbahaya dan boleh menyebabkan hakisan teruk kepada kulit manusia, bagaimanapun kejadian itu berjaya dikawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu yang memandu laju di kawasan selekoh ini dan menyebabkan dua daripada 11 tong asid sulfurik yang dibawa jatuh dari kenderaan.

“Menurut pemilik kenderaan berkenaan, setiap tong berkenaan dianggarkan mengandungi kira-kira 1,800 kilogram cecair kimia,” katanya.

Mohd Fakri berkata, laluan berkenaan telah dibuka semula kepada pengguna jalan raya lain selepas operasi pembersihan jalan untuk meneutralkan tumpahan asid tamat pada jam 1.15 petang.

“Ketika sampai ke lokasi kejadian, pihak bomba mendapati pemandu lori tiada di tempat kejadian dan cecair berkenaan telah merebak sehingga 300 meter akibat keadaan jalan yang curam.

“Anggota penyelamat segera menjalankan operasi pembersihan jalan dan laluan terpaksa ditutup sementara sehingga operasi tamat bagi keselamatan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kejadian tumpahan cecair kimia seumpama itu merupakan yang pertama berlaku sejak balai bomba berkenaan beroperasi kira-kira setahun lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: