25 April 2012

Maut dihentak benda tumpul

3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BUKIT MERTAJAM – Seorang lelaki ditemui mati berhampiran kilang UMW dekat Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Azman Ab Lah berkata, lelaki berusia 44 tahun dan masih bujang itu ditemui orang awam dalam keadaan terlentang di sebuah kawasan lapang dekat kilang terbabit, jam 8 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

“Lelaki itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang dekat Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan dan siasatan awal, kita percaya mangsa mati tidak kurang dari 24 jam sebelum ditemui.

“Malah, kita mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut kerana tidak terdapat unsur-unsur jenayah mahupun senjata di tempat kejadian­, melainkan botol minuman keras dan juga ubat kencing manis, dipercayai milik mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Azman berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mangsa di Hospital Seberang Jaya (HSJ) menemui kesan kecederaan dalaman, dipercayai akibat hentakan benda tumpul di bahagian­ muka.

Berikutan itu, polis mengklasifikasikan semula kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Justeru, pihaknya merayu saksi yang terlihat kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berhampiran­ bagi membantu siasatan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: