25 April 2012

Pengsan dibelasah 30 pelajar

3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BALING - Seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di sini, pengsan setelah dibelasah 30 pelajar lain di kelasnya kira-kira 12 tengah hari, kelmarin.

Mangsa, Mohd Zul Iskandar, 14, dari Kampung Belakang Taman Seri Puteri mengalami keretakan tulang di beberapa bahagian badannya setelah dipercayai dipukul dengan kerusi oleh pelajar tingkatan lima dan empat sekolah terbabit.

Sehingga kini, mangsa masih dalam keadaan lemah dan trauma dengan kejadian yang menimpa dirinya.

Ayahnya, Fadzin Kasim berkata, dia terkejut setelah dihubungi pihak sekolah mengatakan anaknya berada di klinik Kuala Ketil kerana dipukul.

“Saya bergegas ke klinik Kuala Ketil seterusnya ke Hospital Sungai Petani untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Doktor mengesahkan anak saya mengalami keretakan tulang di bahagian belakang badannya. Sepatutnya anak saya ditahan di wad, tetapi anak saya bertegas untuk pulang ke rumah,’ katanya.

Anak bongsu dari dua beradik itu kini bergantung kepada ubat-ubatan doktor, selain mendapat penjagaan rapi daripada keluarganya.

Fadzin berkata, dia tidak mengetahui punca sebenar mengapa anaknya dipukul, tetapi dia tidak menolak kemungkinan pergaduhan itu bermotifkan dendam.

“Saya pun tidak mendapat laporan tepat mengenai kejadian itu dan menyerahkan segalanya kepada polis untuk siasatan.

“Selain Mohd Zul Iskandar, anak sulung saya, Norazwani, 16, dari sekolah sama turut menjadi mangsa buli pelajar sekolah terbabit,” katanya.

Norazwani berkata, banyak kes pergaduhan yang berlaku di dalam sekolah tersebut dan kebanyakan mereka berkumpulan.

“Mereka akan bergaduh walaupun ada guru yang mengajar di dalam kelas. Mereka langsung tidak takut dan mengendahkan guru di sekolah tersebut,” katanya.

Menurutnya, walaupun guru sering mengambil tindakan, pelajar tidak serik malah ada yang berani mengugut guru kerana mengambil tindakan kepada mereka.

Fadzin berkata, dia amat berharap pihak sekolah, termasuk pejabat pelajaran dapat mencari jalan penyelesaian mengenai masalah itu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: