25 April 2012

Lelaki maut dilanggar kereta api

3 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Hasrat seorang abang untuk berjumpa adiknya tidak kesampaian apabila mati dilanggar kereta api di kilometer 27/205, Seksyen 15, di sini, semalam.

Mangsa, yang berusia 50-an itu, dikatakan mencari adiknya yang tinggal di sini sejak dua minggu lalu.

Lelaki itu, yang berasal dari Kuala Selangor, tercampak selepas dilanggar kereta api yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, untuk bedah siasat.

“Kita tidak menemui dokumen peribadi mangsa. Mereka yang melihat kejadian diminta tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” katanya.

Saksi kejadian, Mohd Zul Hazlin Sameon, 19, berkata, dia berada di sebuah kilang apabila melihat kereta api berhenti secara mengejut kira-kira jam 9 pagi.

“Selepas polis sampai, kereta api tersebut meneruskan perjalanan dan saya me­nyedari ada mayat di landasan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: