29 Mei 2012

Kumpulan terakhir misi Timor Leste

8 Rejab 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Kumpulan terakhir iaitu 21 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kem Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini telah berangkat ke Timor Leste dalam misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama enam bulan .

Jumlah keseluruhan 140 itu pegawai dan anggota termasuk seorang doktor serta tiga pembantu perubatan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah bertolak secara berperingkat dalam misi Mal-Formed Police Unit (FPU) ke Timor Leste.

Timbalan Komander Kem Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Mohd Kashim Mohd. Ram berkata, misi tersebut bagi menggantikan pasukan Briged Tengah yang akan kembali ke tanah air setelah menamatkan misi selama enam bulan di Timor Leste.

Menurutnya, kumpulan itu telah bertolak secara berperingkat-peringkat sejak awal bulan Mei.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis penghantaran kumpulan itu di Kem Briged Tenggara di sini semalam yang turut disertai ahli keluarga anggota masing-masing.Katanya, semua anggota PGA yang terlibat dalam misi tersebut dipilih melalui ujian pemilihan yang ketat selain perlu menjalani latihan selama dua bulan.

“Pasukan ini akan terlibat dalam menjaga keselamatan penduduk dan ketenteraman awam. selain itu mereka membantu polis tempatan menguatkuasakan undang-undang.

“Kita berharap anggota polis yang terlibat dengan misi pengaman ini dapat menjaga nama baik negara di negara orang dan tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Kumpulan terakhir ini akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada pukul 4 pagi hari ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: