29 Mei 2012

6 didenda RM2,300 seorang kerana main judi

8 Rejab 1433H. [MOD] -

SEREMBAN – Padah bermain judi, enam lelaki didenda RM2,300 setiap seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah Seremban, di sini, semalam.

Kesemua mereka turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh, Deraman Mohamad, 52, Muhammad Nazar Mokhtar, 43, Samsul Akmar Abu Hassan, 34, Ahmad Khairi Raduan, 24, dan Mohd Nazrin Zainal Abidin, 22, mengaku bersalah di hadapan Hakim Hamizan Mohd Nor.

Kesemua mereka dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis perjudian di Kawasan Perindustrian Oakland, di sini, pada jam 1 pagi, 27 April lalu.

Dalam penghakiman, Hamizan berkata, beliau kesal kerana masalah judi terutama judi siber semakin berleluasa ibarat penyakit berjangkit yang sedang merebak.

Menurutnya, sebagai orang Islam, tertuduh perlu tahu judi itu haram dan tidak perlu diterangkan lagi, manakala denda yang dikenakan adalah sebagai peringatan supaya tidak mengulangi perbuatan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Syarie, Ahmad Muttaqi Ismail, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: