29 Mei 2012

Sawit musnah angkara gajah

8 Rejab 1433H. [MOD] -

FELCRA BUKIT KAPAH - Sedih dan kecewa. Itulah perasaan yang bersarang di lubuk hati peserta Felcra Bukit Kapah 3, di sini sejak dua bulan lalu, setelah satu demi satu tanaman sawit milik mereka dimusnahkan seekor gajah betina.

Difahamkan, sehingga kini lebih 10 peserta mengalami kerugian akibat kejadian yang hampir setiap malam berlaku dipercayai disebabkan gajah betina yang tersesat di kawasan itu.

Lebih malang, menurut peserta terlibat, kejadian tersebut berlarutan sekian lama biarpun masalah sudah diajukan kepada pihak berkenaan.

Kejadian terbaru berlaku malam semalam, seorang peneroka, Mohd Nor Che Sulaiman, 52, terpaksa berputih mata setelah hampir 30 pokok kelapa sawit di kebunnya dimusnahkan haiwan berkenaan.

Ketua Peserta Felca Bukit Kapah 3, Ramli Abd Ghani, 51, berkata, ancaman gajah tersebut mula menghantui mereka yang terbabit dengan projek tanam semula kelapa sawit.

Terima ancaman sejak dua bulan lalu

"Sebelum ini kami tidak pernah mengalami ancaman sebegini, namun sejak dua bulan lalu hampir setiap malam gajah betina ini datang dan memusnahkan tanaman peserta peneroka.

“Secara puratanya, dianggarkan sebanyak 10 pokok kelapa sawit dimusnahkan gajah setiap malam dan pokok yang dimusnahkan ini bakal mengeluarkan hasil tahun depan," katanya.

Menurut Ramli, keadaan itu amat menyedihkan peserta yang berharap untuk menikmati hasil penat lelah mereka selama ini.

"Biarpun pihak berkaitan sudah beberapa kali turun padang meninjau masalah yang kami alami namun tiada sebarang tindakan yang diambil," katanya.

"Saya harap pihak berkenaan dapat menangkap dan memindahkan gajah yang tersesat ini ke tempat lebih sesuai agar kami tidak terus menanggung kerugian," katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurut Ramli, peserta di sini menaruh harapan tinggi untuk menikmati hasil sawit yang diusahakan tahun depan dan berharap masalah itu dapat diatasi segera.

1,000 pokok sawit musnah

Sementara itu, Mohd Nor mengakui tiada kata-kata yang dapat diungkapkan bagi menggambarkan kesedihannya setelah tanaman kelapa sawitnya menjadi mangsa terbaru haiwan tersebut, malam semalam.

Menurutnya, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 7.30 pagi semalam sewaktu dalam perjalanan menuju ke kebunnya dan mendapati kira-kira 30 pokok kelapa sawitnya musnah selain beberapa batang pokok pisang tumbang.

“Sebelum ini, peserta lain sudah jadi ‘mangsa’, kali ini giliran saya pula. Jika terus dibiarkan berlanjutan sudah tentu semua tanaman yang ada di sini akan dimusnahkan haiwan berkenaan.

"Saya difahamkan sehingga kini hampir 1,000 pokok kelapa sawit telah musnah," katanya.

Katanya, memandangkan haiwan tersebut ‘bertandang’ ke kawasan itu setiap malam, diharapkan langkah segera dapat diambil sebelum lebih banyak hasil tanaman dimusnahkan.

Pesta tengok gajah di kawasan berbukit.

Bagi Mat Lazim Mat Hasan, 44, kehadiran tetamu tidak diundang itu bukan sekadar menimbulkan keresahan kerana banyak tanaman musnah tetapi ia turut mencetuskan fenomena tersendiri apabila hampir setiap petang penduduk akan berkumpul untuk melihat haiwan tersebut.

“Tiap-tiap petang, orang ramai akan berkumpul di satu kawasan berbukit di sini ini bagi melihat gajah kerana waktu itu haiwan tersebut dikatakan berjalan menuju ke kawasan tanaman kelapa sawit.

“Berdasarkan pemerhatian, haiwan tersebut adalah gajah betina kerana tidak mempunyai gading dan dipercayai tersesat," katanya.

Malah, katanya, ada yang mendakwa haiwan berkenaan datang dari kawasan Sungai Gawi, sekitar Tasik Kenyir kerana ada pemandu bot pernah terserempak dengan gajah yang sedang menyeberangi tasik.

Sinar Harian akan menghubungi pihak pengurusan Felcra dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklum balas mengenai masalah ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: