31 Mei 2012

Miliki dadah: Penganggur didenda RM14,200

10 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Angkara dadah, seorang penganggur menerima padah apabila dikenakan denda RM14,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku memiliki barang terlarang itu, November tahun lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly selepas Yee Fook Min, 56, mengaku bersalah pada tiga pertuduhan dihadapi.

Jika gagal jelas denda, Yee diarah mahkamah untuk menjalani hukuman 24 bulan penjara selain diperintahkan menjalani tempoh pengawasan di balai polis berhampiran selama dua tahun.

Berdasarkan pertuduhan, Yee didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 5.8 gram dan 2.4 gram di sebuah rumah bernombor 98, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kampung Cina, di sini pada jam 12.40 tengah hari, 2 November 2011.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) kanun sama serta Seksyen 12(3) akta sama.

Dia turut didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah jenis Methamphetamine di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah Kota Bharu jam 1.40 petang, 2 November 2011.

Bagi kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Azahir Nasir dalam rayuannya memohon anak guamnya tidak dikenakan hukuman berat dengan mengambil kira faktor usia dan keinsafan tertuduh.

Sinar Harian

Tiada ulasan: