31 Mei 2012

Penyamun dipenjara 7 tahun

10 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Tiga suspek yang menyamun sepasang suami isteri dengan bertindak menghunus parang di leher dalam kejadian samun di Kampung Bukit Tanah, Besut, awal bulan lalu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiga mereka yang merupakan warga Indonesia mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan rompakan bersenjata, 8 Mei lalu.

Tertuduh, Mawardi Dimak, 29, Sahrun, 25, dan Hamdi Keson, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Mereka mengaku melakukan rompakan berkumpulan bersama seorang lagi yang masih bebas dengan menggunakan senjata terhadap mangsa, Shafie Mohamad, 46, dan isterinya Hasniah Hassan, 39, di sebuah rumah tidak bernombor di Lorong Setia, Kampung Bukit Tanah, Besut, kira-kira jam 2.10 pagi, 8 Mei lalu.

Ketiga-tiga mereka turut mengaku melarikan seutas rantai emas, dua utas rantai leher emas, seutas rantai leher berloket emas, enam telefon bimbit dan tunai RM500, serta menggunakan senjata yang boleh mendatangkan kecederaan atau kematian iaitu dua parang dan sebatang kayu.

Manakala bagi tertuduh, Sahrun dan Hamdi turut berdepan pertuduhan tidak memiliki permit sah untuk tinggal sementara di negara ini iaitu kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1953/1969 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama.

Bagi kesalahan itu, kedua mereka dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan dua sebatan, bagaimanapun, Wan Fadhilah Nor memerintahkan hukuman penjara itu dijalankan serentak dari tarikh mereka ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Zulfazliah dalam pendakwaannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran dan meninggalkan keinsafan kepada mereka kerana banyak kes rompakan dan kecurian dilakukan warga asing sejak belakangan ini seperti dilaporkan dalam akhbar, selain mengambil kira kesan trauma dihadapi mangsa.

Manakala Wan Fadhilah Nor dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira ketiga-tiga tertuduh adalah warga Indonesia yang mencari kerja dan membantu keluarga di kampung, tetapi sebaliknya melakukan jenayah.

Terdahulu dalam rayuannya, ketiga-tiga mereka memohon mahkamah mengurangkan hukuman kerana mendakwa orang susah, terdesak dan berpenyakit.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri berdepan pengalaman mencemaskan selama kira-kira 30 minit apabila leher mereka dihunus parang panjang oleh tiga lelaki yang menyamun rumah mereka di Kampung Bukit Tanah, Besut.

Menurut Shafie, salah seorang penyamun yang bertutur loghat Indonesia mengarahkan dia dan isterinya diam dengan mengugut akan menyembelih sekiranya bising.

Berikutan kejadian itu, mangsa bukan sahaja trauma malah terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM8,000 setelah barang berharga dan tunai mereka dilarikan

Sinar Harian

Tiada ulasan: