17 Julai 2012

3 pelajar Malaysia selamat dalam kebakaran

27 Syaaban 1433H. [MOD] -

PASUKAN bomba Ames bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di South Meadow Apartments, semalam. - AGENSI
NEW YORK 16 Julai - Tiga pelajar Malaysia berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran di sebuah blok pangsapuri di South Meadow Apartments, di bandar raya Ames, Iowa, kira-kira 1,900 km dari sini, awal pagi semalam.

Mohamad Khairi Zulkarnian, Mohd Aminuddin Hamid dan Mohd Khairi Ismail yang kesemuanya berusia 21 tahun adalah pelajar tahun dua kursus kejuruteraan di Iowa State University.

Mohamad Khairi ketika dihubungi Bernama di sini berkata, mereka kini tinggal sehelai sepinggang selepas hanya sempat menyelamatkan telefon bimbit dan dompet masing-masing dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu.

"Ketika kejadian kami sedang tidur apabila dikejutkan dengan ketukan kuat di pintu rumah yang disertai arahan selamatkan diri menyebabkan kami bergegas bangun dan keluar dari unit kediaman itu," katanya.

Katanya, sebelum kejadian mereka bertiga mengadakan sesi mentelaah bersama.

Katanya, beliau tinggal di situ bersama Mohd Aminuddin dan Hazwan Izzudin yang pulang bercuti di tanah air, sementara Mohd Khairi pula tinggal di tempat lain, namun datang menginap di rumahnya sejak beberapa hari lepas.

Terdapat 17 pelajar Malaysia tinggal di kompleks perumahan itu, tetapi kebanyakan mereka sedang bercuti di tanah air atau melancong di sekitar Amerika Syarikat, katanya.

Menurut Mohamad Khairi, kediaman mereka rosak paling teruk berbanding unit lain.

Sementara itu, portal berita Iowa State Daily.com melaporkan kira-kira 100 orang tinggal di pangsapuri 56 unit berkenaan, namun tiada kecederaan dilapor dalam kejadian tersebut.

Laporan itu juga menyebut kebakaran dipercayai bermula dari garaj di bahagian bawah apartmen.

Laporan itu juga memetik pegawai perhubungan awam untuk bandar raya Ames, Susan Gwiasda sebagai berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9 pagi, namun bomba berada di lokasi kejadian sepanjang hari bagi memantau situasi. — BERNAMA

Tiada ulasan: