25 Julai 2012

Air: Pemuda PAS Selangor kesal sikap Pusat, Syabas

5 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa kekesalan dan kekecewaan dengan tindakan tidak demokratik kerajaan pusat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di dalam isu pengurusan air di negeri itu.

"Tindakan kerajaan pusat mendahulukan kroni dengan menyebelahi pengkhianat rakyat Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk tidak menerima cadangan pengambilalihan Syabas oleh kerajaan negeri Selangor adalah sangat memualkan dan menjijikkan," kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya Pemuda PAS negeri menyelar tindakan kerajaan pusat kerana sanggup bersekongkol dan mempertahankan ‘lanun’ Syabas walaupun telah ditunjukkan pembuktian oleh kerajaan negeri Selangor bahawa Syabas telah melakukan kesalahan dengan melanggar syarat-syarat perkhidmatan dan melakukan pengkhianatan secara terang-terangan apabila melaksanakan catuan air terhadap rakyat Selangor.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengecam tindakan kerajaan pusat kerana mengambil kesempatan untuk meneruskan penganiayaan dan penindasan kepada seluruh rakyat negeri Selangor yang tidak berdosa akibat politik sempit balas dendam mereka di atas kekalahan lalu.

baginya, tema ‘rakyat didahulukan’ adalah memberikan tafsiran bahawa rakyat akan sering dimangsakan dengan pelbagai tekanan daripada setiap segi sama ada ekonomi, kehidupan dan sebagainya sekiranya Umno dan Barisan Nasional kehilangan kuasa pemerintahan di sesebuah negeri.

Sememangnya Umno dan Barisan Nasional adalah dari jenis spesis yang ‘cakap tidak serupa bikin’ yang hanya melihat kesalahan orang lain sedangkan diri mereka sendiri terpalit dengan najis kekotoran yang cukup busuk.

Sehubungan itu, kata beliau pihaknya akan menggerakkan massa untuk menerangkan isu air dan pengkhianatan Syabas ini bersama-sama dengan rakan-rakan pemuda di dalam Pakatan Rakyat dan kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor beserta badan-badan bukan kerajaan (NGO) supaya rakyat negeri itu dapat memahami dengan lebih mendalam selain melihat sendiri pengkhianatan yang telah dilakukan oleh Syabas dengan kerjasama kerajaan pusat terhadap rakyat.

Beliau mengingatkan rakyat agar perlu sedar dan memahami sekiranya pengurusan air di Selangor masih lagi diuruskan oleh Syabas maka kemungkinan banyak lagi keadaan sabotaj yang dilakukan.

Ini, katanya kerana Syabas bukan dikendalikan secara profesional untuk memberikan khidmat kepada rakyat tetapi dijadikan ‘budak suruhan’ Umno dan Barisan Nasional untuk memberikan tekanan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Jelasnya, air adalah hak milik kerajaan negeri Selangor dan rakyatnya, maka menjadi tanggungjawab seluruh rakyat negeri Selangor untuk menyokong tindakan Menteri Besar untuk mengambi lalih pengurusan air untuk mempastikan rakyat terus menerima perkhidmatan pengurusan air yang lebih baik dan efisien.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Awanama berkata...

prejudis ?