28 Julai 2012

BN Putar Belit Isu Lesen Hospital Swasta Di P. Pinang

8 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Exco Kesihatan, Kebajikan Dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh membidas dan mendedahkan penipuan yang dibuat oleh Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow berhubung kes tanah 0.4 hektar di Jalan Zainal Abidin dan keengganan Kementerian Kesihatan untuk memberi lesen untuk hospital swasta multidisiplin.

Dalam satu kenyataan media kepada TVSelangor, Boon Poh mendedahkan, BN Pulau Pinang cuba mengalihkan perhatian rakyat berhubung hakikat keadaan Kerajaan PR Pulau Pinang yang harus menebus balik lebih RM10 juta jika lesen hospital swasta tidak dapat diperolehi.

Teng sebelum ini mendakwa lesen hospital swasta telah diluluskan untuk tanah Jalam Zainal Abidin seluas 0.4 hektar.

Menurutnya lagi, Teng telah menipu sekali lagi bahawa kerajaan negeri telah memberi jaminan kepada pemenang tender bahawa kelulusan daripada Kementerian Kesihatan akan diberi untuk pengendalian hospital swasta.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri PR tidak pernah memberi apa-apa jaminan sedemikian sebaliknya kekal dengan pendirian bahawa tanah yang dijual itu hanya boleh digunakan untuk pembangunan sebuah hospital dan bukan untuk projek komersial.

“Sebagai salah satu usaha untuk memastikan Pulau Pinang kekal sebagai nombor satu dalam pelancongan kesihatan, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak membayangkan kesukaran dan keengganan Kementerian Kesihatan untuk memberi lesen hospital swasta walaupun terdapat kekurangan katil hospital di kalangan hospital-hospital swasta.

“Jika lesen hospital swasta tidak diluluskan, adalah adil jika tanah itu dikembalikan kepada kerajaan negeri dengan penebusan apa-apa bayaran yang sudah dibuat. Tindakan Teng untuk mengkritik kami kerana ingin mengambil balik tanah tersebut adalah tidak munasabah dan mengelirukan kerana dahulu beliau telah mengkritik kami kerana menjual tanah tersebut,” katanya.

Ujar beliau lagi, jika Teng tidak terdesak untuk membantu UMNO memenangi kembali Pulau Pinang, beliau harus memberi tekanan kepada Kementerian Kesihatan untuk memberi kelulusan untuk lesen hospital swasta selain memastikan Pulau Pinang kekal sebagai negeri nombor satu dalam pelancongan kesihatan di Malaysia.

selangorku/-

Tiada ulasan: