03 Julai 2012

Butler minta maaf

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Pasukan bola sepak Terengganu sekali lagi mengundang kontroversi dalam kalangan peminat dan pengamal media apabila pengendalinya, Peter Butler melabel wartawan sebagai parasit dalam laman sosial Twitter selepas tewas 1-2 kepada Kedah, Sabtu lalu.

Peter Butler yang mengemas kini status Twitternya kira-kira jam 4.30 petang kelmarin dengan menggunakan nama @pjfbutts itu antara lain berbunyi:

“Saya perlu ketawakan wartawan - mereka hanya ingin menjadi rakan anda bila anda mendapat perhatian, namun, bila anda berada dalam keadaan sukar, mereka tiada - parasit.”

Bagaimanapun, menyedari komen sinisnya itu mendapat reaksi negatif daripada wartawan sendiri, Butler pantas memohon maaf dan menegaskan ia hanya dimaksudkan kepada segelintir wartawan tertentu.

Tidak mahu perkara itu berpanjangan, jurulatih berusia 52 itu kemudian tampil memberikan penjelasan berhubung komen yang disifatkannya peribadi itu.

“Saya minta maaf jika tulisan saya itu membuatkan anda semua (wartawan) khususnya di Terengganu ini terasa.

“Saya hanya tujukan perkara itu (komen) kepada wartawan yang tertentu sahaja iaitu ‘mereka’ yang menulis apa yang saya tidak cakap,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan bersama skuad Penyu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di
sini semalam.

Menurutnya, beliau mahu menjaga hubungan baik dengan semua wartawan, namun masih ada segelintir wartawan yang seolah-olah cuba menjatuhkan pasukannya dengan menulis perkara yang negatif mengenai pasukan bimbingannya.

“Media (wartawan) di Terengganu ini okey sahaja, tetapi mereka (wartawan) tempat lain termasuk Kuala Lumpur tidak ramai yang bekerja mengikut etika kewartawanan yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Ayob Mamat menyifatkan komen Butler dalam laman sosial Twitternya itu sebagai tidak profesional.

“Sebagai jurulatih, fokus utamanya ialah memikirkan cara terbaik bagaimana untuk memperbaiki kelemahan pasukan. Wartawan hanya melaporkan perkara yang betul.

“Kritikan perlu diterima dengan minda terbuka, tetapi membuat kenyataan sinis kepada wartawan adalah cara yang salah untuk menangani sebarang masalah yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh ketika dihubungi turut berharap Butler berfikir dua kali sebelum membuat sebarang komen, khususnya di laman sosial pada masa depan.

Menurutnya, beliau kesal dengan sebarang salah faham yang berlaku akibat kenyataan dikeluarkan Butler menerusi Twitternya, dan beliau memberi jaminan kepada semua bahawa perkara itu tidak akan berlaku pada masa akan datang.

“Saya percaya ketika dia (Butler) membuat komen itu, mungkin dalam keadaan tertekan dengan prestasi semasa skuad bimbingannya.

“Begitupun saya memuji tindakannya (Butler) apabila tampil menjelaskan perkara sebenar dan meminta maaf kerana perkara itu sememangnya patut dilakukan untuk mengekalkan hubungan baik bersama pihak media,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: