03 Julai 2012

Kebuk sampah kena pecah

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

BUKIT TERATAI - Usaha menyelesaikan isu sampah haram di Taman Bukit Teratai terbantut apabila disabotaj oleh individu yang tidak berpuas hati dengan pembinaan kebuk sampah di kawasan itu.

Setiausaha Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 23, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Mohammad Firdaus Babh berkata, kebuk sampah yang hampir siap hasil usaha sama JKP Zon 23, Badan Pengurusan Bersama (JMB) Taman Bukit Teratai dan MPAJ untuk mengatasi masalah haram sejak 15 tahun lalu dipecahkan oleh segelintir penduduk.

Menurutnya, mengikut perancangan, 62 kebuk sampah yang dibina bagi menyelesaikan masalah sampah haram di taman itu sepatutnya dilancarkan pada 1 Julai 2012 tetapi ada pihak yang bertindak memecahkannya.

“Individu yang memecahkan kebuk sampah tersebut telah dikenal pasti. Sikap pihak berkenaan merencatkan usaha JKP dan pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah sampah haram yang berlarutan berbelas tahun lamanya.

“Kejadian ini dicetuskan oleh pihak terbabit dikatakan merasakan pembinaan kebuk sampah tersebut mengganggu keselesaan penduduk sedangkan pembinaan kebuk sampah berkenaan adalah mengikut pelan yang diluluskan oleh pihak berkuasa," katanya.

Dalam kejadian baru-baru ini, lapan kebuk sampah telah dipecahkan dan dianggarkan kerugian mencecah RM6,200 daripada keseluruhan kos projek iaitu RM48,000 bagi kegunaan kira-kira 369 unit kediaman rumah kedai di sini.

Firdaus berkata, berikutan daripada vandalisme dan sabotaj tersebut, pihak JKP dan JMB taman itu terpaksa menangguhkan rancangan menutup tiga lokasi pembuangan sampah dalam kawasan itu .

Menurutnya, mengikut jadual, kontraktor sampah akan mula mengambil sampah-sampah penduduk dari kebuk yang disediakan sebaik sahaja tiga tong sampah besar di lokasi itu ditutup seterusnya mengatasi masalah berkenaan.

Sementara itu, Syarikat Zulkernain iaitu kontraktor pembinaan kebuk sampah itu kesal dengan kejadian tersebut.

Pengurusnya, Zulkernain Sulaiman berkata, kejadian itu menyebabkan syarikatnya rugi besar dan penggunaan kebuk terpaksa ditangguhkan seterusnya melambatkan usaha mengatasi sampah haram sejak 15 tahun lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: