03 Julai 2012

‘Terbayang bagaimana jika saya dibunuh’

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

GOMBAK: “Saya hanya terfikir mati dan mengucap tiga kali. Dalam fikiran hanya terbayang bagaimana jika saya dibunuh dan perasaan keluarga jika menerima berita kematian saya.

(TRAUMA...Jamal menunjukkan katil besi yang digunakan suspek untuk menghempapnya)

“Malah ketika itu, kedua-dua tangan dan kaki saya diikat dengan tali, manakala mulut disumbat kain menyebabkan saya sukar bernafas. Saya merayu mereka membuka ikatan, tetapi dipukul dengan besi katil selain menolak saya hingga tersungkur ke lantai,” kata lelaki yang mahu dikenali Jamal, 33, menceritakan detik cemas disamun dan dikurung dua lelaki bersenjatakan pisau dan sabit.

Jamal yang masih trauma dengan insiden berkenaan berjaya menyelamatkan diri sebaik kedua-dua lelaki itu meninggalkannya bersendirian dalam keadaan badan dihempap dengan katil besi dan berikat di sebuah rumah dalam pembinaan di Batu 10 Jalan Gombak sebelum meminta pertolongan penduduk berhampiran.

Malah, dia bukan saja disamun dan dikurung, tetapi rumah disewa bersama anak saudaranya di Taman Koperasi Polis, di sini, turut dipecah masuk lelaki terbabit menyebabkan kerugian hampir RM20,000 selepas kereta Proton Iswaranya dilarikan.

Menceritakan kejadian itu, Jamal berkata, dia baru selesai minum bersama rakannya di sebuah gerai di Taman Greenwood, jam 4 pagi awal pagi Sabtu lalu, sebelum berjalan ke kereta yang diletakkan di bahu jalan.

“Saya menyedari seperti diekori dua lelaki, tetapi tidak mempedulikannya sebelum lelaki itu mengacukan pisau di leher sebaik saya mahu membuka pintu kereta.

“Manakala seorang lagi masuk ke bahagian penumpang depan dan meletakkan sabit di perut saya. Mereka mengarahkan saya tidak melawan dan memandu ke kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak,” katanya.

Sebaik tiba di kawasan tapak pembinaan berhampiran Batu 10, dia diarahkan keluar daripada kereta dan masuk ke sebuah rumah sebelum kedua-dua tangan dan kakinya diikat.

Katanya, lelaki terbabit mengambil telefon bimbit dan dompetnya selain mengarahkan memberikan kata laluan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya.

“Saya yang ketakutan mengikut arahan dan merayu minta dilepaskan. Mereka berterusan memukul dan menolak saya hingga tersungkur ke lantai selain dihempap katil besi.

“Mereka meninggalkan saya sendirian. Saya berusaha melepaskan ikatan, tetapi gagal. Saya terpaksa melompat keluar dari rumah itu dan meminta bantuan seorang pengawal keselamatan di sebuah bangunan pejabat tidak jauh dari tempat saya dikurung,” katanya.

Jamal berkata, pengawal itu membuka ikatan sebelum seorang lelaki yang melalui jalan berkenaan menghantarnya ke Balai Polis Gombak membuat laporan.

Sebaik pulang ke rumah, dia mendapati rumahnya berselerak dan sebaik diperiksa, didapati dua komputer riba, dua telefon bimbit dan wang tunai RM500 hilang.

Bagaimanapun, anak saudara perempuannya yang berusia 22 tahun dan suaminya yang tinggal bersama tidak cedera kerana tidur dalam sebuah bilik serta tidak menyedari kejadian itu kerana lelaki terbabit membuka pintu rumah menggunakan kunci miliknya yang disamun sebelum itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Agency

Tiada ulasan: