03 Julai 2012

SBPA: Kenapa kambing hitamkan Abu Bakar?

13 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri tidak seharusnya mengkambinghitamkan Tan Sri Abu Bakar Abdullah (gambar) ekoran kegagalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), kata Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS.

Mahfuz berkata, adalah tidak adil untuk Perdana Menteri bertindak sedemikian memandangkan Abu Bakar hanya meneruskan pelaksanaan skim itu sebagaimana dipersetujui sebelum ini oleh kabinet.

"Kalau tindakan ke atas Abu Bakar ini kerana kegagalan SPBA yang menimbulkan krisis dan kontroversi, saya katakan ia satu tindakan yang tidak adil sama sekali," katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS tengah hari tadi.

Abu Bakar telah ditamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) lebih awal sebelum sampai tempoh umur 60 tahun selepas perlantikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru.

Abu Bakar sebelum ini disebut-sebut bakal dilantik sebagai KSN kerana beliau adalah pegawai kerajaan paling kanan selepas KSN.

Mahfuz percaya jika ini boleh berlaku kepada seorang ketua pengarah apalah pula kepada 1.4 juta kakitangan awam yang menjadi mangsa politik kerajaan yang dalam keadaan tertentu akan berlepas tangan.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, menuntut Perdana Menteri menjelaskan kewajaran pemecatan Abu Bakar yang seolah-olah dirahsiakan kerana beliau tidak mahu pentadbiran kerajaan memiliki pegawai tinggi yang bersikap 'yes man'.

Sehubungan itu, Mahfuz tidak menolak kerajaan menggunakan Perkara 49 Peraturan Pegawai awam dan Tatatertib (kelakuan dan tatatertib) untuk menamatkan perkhidmatan Abu Bakar.

"Saya ingin dapatkan penjelasan daripada kerajaan adakah benar berita tersebut, iaitu penamatan (tugas Abu Bakar) dibuat dengan menggunakan perkara 49," katanya.

Menurut Mahfuz, selepas dirujuk beberapa pihak, peraturan tersebut digunakan "atas keselamatan negara" di mana anggota perkhidmatan awam didakwa melakukan kegiatan yang dianggap "merugikan negara, subversif atau mengancam keselamatan negara".

"Kalau benar, kerajaan diminta memperjelaskan kepada 1.4 juta penjawat awam, apakah kegiatan jenayah yang dilakukan oleh Abu Bakar sehingga kerajaan menggunakan perkara 49 itu," kata Mahfuz.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa tidak menyatakan sebab-sebab perkhidmatan Abu Bakar ditamatkan.

Berikutan kekosongan tersebut, Dr Ali berkata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd Ali akan menjalankan tugas-tugas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkuatkuasa semalam.

Spekulasi yang timbul di blog sebelum ini mengatakan bahawa Abu Bakar ditamatan perkhidmatan ekoran skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Harakah Daily

Tiada ulasan: