11 Julai 2012

Lesap sekelip mata

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

IPOH - Hanya dalam tempoh 30 saat, dua lelaki bersenjatakan parang berjaya melarikan beberapa barangan berharga termasuk wang tunai dalam kejadian samun di sebuah kilang pemasangan kasut di Regrouping Area, Menglembu di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, seramai tujuh pekerja dan pemilik kilang masih menjalankan tugas sebelum ia tersebut ditutup pada jam 7 malam.

Pemilik kilang, Wong Soon Choy, 53, berkata, sewaktu kejadian dia sibuk membantu pekerjanya menyiapkan tempahan kasut sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal di hadapan premisnya.

Menurutnya, salah seorang daripada lelaki terbabit membawa parang dengan mengacu dan mengugut pekerjanya supaya menyerahkan barangan berharga jika tidak mahu dicederakan.

Tambahnya, seorang lagi rakannya yang memakai topeng muka merampas dompet dua pekerjanya dan mengambil wang tunai berjumlah RM600 serta lesen memandu mereka.

“Mereka turut mengambil telefon pintar i-Phone yang terletak di atas meja berhampiran dan tidak sampai satu mi-nit mereka segera melarikan diri menaiki motosikal yang diletakkan di luar.

“Bagaimanapun, kami semua bernasib baik kerana tidak dicederakan,” katanya ketika ditemui di kilangnya, semalam.

Soon Choy mendakwa, kira-kira sebulan lalu, dua lelaki yang sama pernah datang ke premisnya kononnya mahu menempah kasut. Bagaimanapun katanya, kejadian samun itu adalah yang pertama berlaku sepanjang tiga tahun premis tersebut beroperasi.

Mangsa membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Menglembu. Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Negeri, DatukLee Kon Yin berkata, menggesa supaya peniaga khususnya berhati-hati dengan kumpulan penjenayah dipercayai anggota kongsi gelap yang semakin berleluasa di sekitar bandar raya ini.

Katanya, antara tempat yang menjadi tumpuan termasuklah di Taman Desa Pakatan, Taman Pinji Mewah, Menglembu dan Buntong.

Menurutnya, sejak dua minggu lalu, pihaknya menerima 30 aduan berhubung beberapa kumpulan kongsi gelap yang mengutip wang perlindungan daripada peniaga dengan kadar serendah RM2,000 hingga mencecah lebih RM5,000 mengikut skala perniagaan yang dijalankan.

Katanya, satu laporan polis sudah dibuat oleh seorang peniaga di Taman Desa Pakatan berhubung perkara tersebut.

“Selain itu, terdapat juga aduan sesetengah ahli kumpulan kongsi gelap ukan sahaja meminta wang perlindungan malah bertindak makan dan minum secara percuma di restoran yang dikunjungi,”
katanya.

Sehubungan itu, Kon Yin menyeru kepada penduduk dan peniaga untuk menubuhkan pasukan keselamatan bagi membanteras gejala tersebut dari terus berleluasa.

Sinar Harian

Tiada ulasan: