11 Julai 2012

Bekas PM Israel didapati bersalah

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

BAITULMUQADDIS - Sebuah mahkamah Israel membebaskan bekas Perdana Menteri, Ehud Olmert daripada dua tuduhan rasuah semalam tetapi mendapatinya bersalah berhubung satu tuduhan yang lebih ringan dalam keputusan yang beliau sifatkan sebagai adil.

Mahkamah Daerah di Baitulmuqaddis membebaskan Olmert daripada tuduhan menerima beberapa sampul surat berisi wang dan mengemukakan caj palsu beberapa kali semasa melakukan lawatan ke luar negara.

Namun, Olmert didapati bersalah kerana memberi kemudahan kepada seorang bekas rakan sekerjanya ketika beliau memegang jawatan sebagai menteri.

Olmert masih berdepan satu perbicaraan lain berhubung tuduhan beliau menerima rasuah semasa memegang jawatan Datuk Bandar Baitulmuqaddis dalam projek pembinaan sebuah kompleks perumahan di sini.

Namun, keputusan untuk membebaskan beliau daripada dua tuduhan paling serius pada perbicaraan itu termasuk dakwaan yang memaksanya meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2008 dilihat sebagai satu kemenangan peribadi buat Olmert.

Namun, beliau didapati bersalah kerana bersikap pilih kasih dengan meluluskan permohonan kontrak rakannya, Uri Messer semasa Olmert berkhidmat sebagai Menteri Perdagangan dan Industri.

Beliau didapati bersalah kerana membuat keputusan yang bercanggah dengan kepentingan negara.

Kesalahan itu boleh menyebabkan beliau dihukum maksimum penjara tiga tahun.

Bagaimanapun, hujah tentang hukuman yang perlu dijatuhkan ke atas Olmert akan bermula pada September depan. - Agensi

Tiada ulasan: