11 Julai 2012

Kalau pejabat PM tak selamat, tempat lain...

21 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) melihat kejadian amuk yang berlaku di depan Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya semalam sebagai satu manifestasi ketidakamanan yang berlaku di negara kita ini.

Dalam kejadian tersebut, seorang penganggur lelaki telah mati ditembak anggota polis ketika mengamuk bersama seorang wanita dengan melibaskan pedang samurai di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri.

“Tragedi amuk di depan JPM ini dilihat benar-benar mencalar kredibiliti Najib kerana ianya berlaku di kawasan pejabat beliau sendiri,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad.

Ini, ujarnya ditambah dengan pengumuman "3K Berkembar" iaitu Keamanan dan Keselamatan, Kestabilan dan Keharmonian serta Kemakmuran dan Kemajuan oleh Najib di Bandar Baru Bangi sehari sebelum tragedi itu.

“Dengan kejadian amuk ini, maka timbul persoalan di benak fikiran rakyat Malaysia, di manakah keamanan, keselamatan dan kestabilan yang dimomokkan oleh Najib?” ujarnya.

Ini, kerana katanya Putrajaya merupakan pusat pentadbiran kerajaan Malaysia.

Di sana juga, ujar Kamaruzaman terletaknya penginapan bagi para penjawat awam yang bekerja di Putrajaya.

“Sekiranya Jabatan Perdana Menteri yang terkenal dengan sistem keselamatan yang ketat pun tidak selamat, bagaimana pula dengan jaminan keselamatan di tempat-tempat lain?” tanya beliau lagi.

Justeru, kata beliau jaminan keselamatan dan keamanan dilihat hanyalah ungkapan kosong semata-mata.

Tambahnya, DPPWP juga melihat status keselamatan negara yang kian samar apabila polis yang dilihat sebagai penjaga keamanan turut dijadikan sebagai tebusan oleh lelaki tersebut yang hanya bersenjatakan pedang samurai sahaja.

Ini, ujarnya sekaligus menunjukkan bahawa betapa lemahnya kaedah sistem keselamatan yang terdapat di Jabatan Perdana Menteri tersebut.

Justeru, katanya DPPWP menyifatkan pengumuman 3K Berkembar Najib tidak lain hanyalah omongan kosong demi menutup kelemahan kerajaan Umno BN dan ianya dilihat sebagai strategi kuno Umno BN untuk memancing undi semata-mata.

“Namun begitu, syabas diucapkan kepada pihak polis yang masih mampu menangani tragedi amuk ini walaupun terpaksa melepaskan beberapa das tembakan,” katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: