09 Ogos 2012

AS rancang Syria baru

20 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Washington: Amerika Syarikat tidak menunggu Presiden Bashar al-Assad digulingkan untuk meneruskan rancangan ke arah membantu pembentukan kerajaan baru Syria selain mengambil kira pengajaran di Iraq pada 2003.

Oleh itu, pegawai berkata, jika rejim Bashar tumbang, perkhidmatan asas perlu dijaga termasuk air dan elektrik selain mendapatkan kerjasama golongan teknokrat yang tiada kena mengena dengan kroni pentadbiran lama.

Pegawai kanan Amerika tidak tahu sampai bila Bashar boleh bertahan tetapi yakin pemimpin itu akan dijatuhkan dan itu memerlukan persediaan awal menangani permasalahan dalam dasar luarnya.
Tindakan Perdana Menteri Syria, Riad Hijab belot minggu ini memperkukuh harapan di sini bahawa rejim Bashar semakin hampir tumbang.

Kami boleh mulakan perbincangan dan perancangan menghadapi keadaan selepas itu, sehari selepas kejatuhannya. Saya tahu ia akan berlaku, kata Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton di Afrika Selatan, kelmarin.

Berbeza dengan Iraq, perancangan masa depan Syria bukan hanya diputuskan oleh Amerika kerana ia sudah berdialog dengan Turki dan Jordan serta kuasa serantau lain yang mahu mengehadkan pengaruh Iran di Damsyik.

Presiden Barack Obama juga berulang kali berbincang krisis Syria dengan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan selain sekutu Amerika di Eropah.
Hillary juga akan berada di Turki minggu ini. Minggu lalu, Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta berada di Jordan untuk berbincang dengan Raja Abdullah mengenai era selepas Bashar di Syria.

Bekas duta Washington ke Damsyik, Robert Ford juga menemui wakil pembangkang di Kaherah. Obama juga menandatangani dokumen mengarahkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) bergerak sulit membantu pemberontak Syria.

Amerika juga menyalurkan AS$12 juta (RM36 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan kepada orang awam Syria yang menjadi mangsa konflik negara mereka.

Keadaan kemanusiaan sudah teruk kerana setengah juta penduduk kelaparan. Beribu-ribu lagi penduduk sudah melintasi sempadan, kata seorang pegawai kanan.
Washington juga sudah menyediakan bekalan komunikasi dan peralatan perubatan kepada pemberontak bernilai AS$25 juta (RM75 juta).

Di Aleppo, tentera Syria memasuki kawasan kubu kuat pemberontak di bandar utara, Aleppo dan memaksa pemberontak berundur.
AFP

Tiada ulasan: