09 Ogos 2012

Ops Payung dilancar semula

20 Ramadhan 1433H. [MOD] -

PORT DICKSON – Polis Port Dickson melancarkan semula Ops Payung di beberapa kawasan strategik di daerah pelancongan ini bermula 26 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, Ops Payung itu bertujuan menunjukkan kepada masyarakat di luar sana akan kehadiran polis di kawasan mereka.

Menurutnya, sebelum ini, polis ada melakukan rondaan secara berjadual, namun mungkin ia kurang dilihat oleh masyarakat.

"Sebab itulah, Ops Payung dilakukan dan diletakkan di satu tempat yang mudah dilihat masyarakat untuk satu jangka masa tertentu.

“Ops Payung ini juga menampakkan lagi kepada masyarakat akan perlaksanaan tugas yang dilakukan oleh polis dalam masa 24 jam, manakala operasi rondaan berkala sebelum ini tetap dijalankan seperti biasa,” katanya.

Abd Wahab berkata, Ops Payung itu menempatkan dua anggota polis di empat kawasan sekitar Port Dickson dan Lukut sambil dibantu seorang penyelia yang akan menguruskan kelancaran operasi berkenaan melalui platform mudah alih khemah payung dengan lambang polis.

“Waktu operasi Ops Payung pada peringkat awal ini adalah dari jam 7 pagi hingga 12 malam setiap hari dan akan berpindah ke satu lokasi lain dalam masa empat jam sekali.

“Setakat ini, Ops Payung hanya ada di Bandar Port Dickson dan Lukut sahaja, namun jika kawasan lain juga memerlukannya ia akan dilakukan selepas kajian dan penelitian dibuat,” katanya.

Beliau berkata, jika sesiapa mempunyai sebarang maklumat jenayah dan melihat kegiatan mencurigakan, boleh melaporkan kepada polis sama ada dengan berjumpa anggota di Ops Payung atau menghubungi balai polis berhampiran.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat dalam program komuniti kepolisan yang diadakan secara berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ditemui ketika Ops Payung di Jalan Lama Port Dickson memuji pendekatan polis yang dilihat lebih akrab dengan masyarakat.

Suri rumah, Khuzaimah Ramli, 55, berkata, inisiatif meletakkan polis bertugas lengkap dengan pakaian beruniform secara tidak langsung menambah suasana selamat di kawasan yang menjadi tumpuan ramai ini.

Peniaga, Mohd Khairul Anuar Rashid, 22, pula berkata, penjenayah terutamanya peragut mungkin akan mengelakkan diri daripada muncul di kawasan awam yang ada anggota polis melalui Ops Payung ini.

Manakala penjawat awam, Siti Nuraffaf Affandi, 29, berkata, sekarang dia boleh melihat semakin kerap kehadiran anggota polis dan langkah ini membolehkan masyarakat terus memberikan maklum balas jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

sinar harian/-

Tiada ulasan: